Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menganjurkan Sambutan dan Karnival Hari Pekerja 2026 selama tiga hari bermula 1 Mei hingga 3 Mei ini bagi menghargai sumbangan tenaga kerja sebagai tunjang pembangunan negara.
KESUMA memaklumkan, sambutan yang akan dirasmikan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu dijangka menghimpunkan lebih daripada 15,000 orang pekerja daripada pelbagai sektor, termasuk kesatuan sekerja, badan berkanun, serta sektor awam dan swasta.
Menurut KESUMA, kemuncak acara akan menampilkan amanat khas Perdana Menteri, serta penyampaian Anugerah Hari Pekerja 2026 yang merangkumi 14 kategori. Setiap penerima akan menerima wang tunai RM10,000 berserta plak penghargaan.
Sepanjang penganjuran, Karnival Hari Pekerja 2026 dijangka menarik kira-kira 30,000 orang pengunjung dengan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan kerjaya, kemahiran dan kesejahteraan rakyat.
Antara tarikan utama termasuklah Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menawarkan 4,000 kekosongan jawatan menerusi platform MYFutureJobs dengan julat gaji antara RM2,500 hingga RM16,000.
Pengunjung turut berpeluang menyertai sesi temu duga terus bersama majikan, mendapatkan khidmat bimbingan kerjaya, serta maklumat berkaitan dengan peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja.
Selain itu, lebih daripada 50 pempamer daripada kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan industri akan mengambil bahagian dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat di satu lokasi bersepadu.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan, derma darah, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), serta khidmat nasihat berkaitan perburuhan, keselamatan pekerjaan, dan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).