Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlebang – Pembangunan Enrique of Malacca Shipyard di Melaka dilihat sebagai langkah strategik yang mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi maritim baharu di negeri itu.
Projek bernilai RM180 juta itu dijangka menjana sehingga RM1.8 bilion dalam tempoh 10 tahun, sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab maritim masa hadapan.
Ketua Menteri, YBhg. Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek yang dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun itu akan dibangunkan di kawasan seluas lebih 17 hektar di Klebang dan dijangka menjadi limbungan kapal terbesar di negeri berkenaan.
Menurut beliau, pembangunan tersebut bukan sahaja membuka lebih 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, malah berpotensi menarik pelaburan langsung asing, serta kepakaran antarabangsa dalam industri maritim.
Projek itu turut melibatkan kerjasama strategik antara beberapa pihak, termasuk SM-WEZ Corporation, Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd. dan syarikat dari Turkiye, Desan Shipyard yang berpengalaman luas dalam industri global.
Pembangunan berkenaan merupakan sebahagian daripada projek lebih besar di bawah Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang meliputi kawasan penambakan luas di sepanjang pesisir pantai Melaka.
Selain itu, kedudukan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan paling sibuk di dunia dengan kira-kira 80,000 kapal melalui kawasan tersebut setiap tahun memberikan kelebihan strategik kepada projek ini untuk merangsang pertumbuhan ekonomi maritim negeri.
Dalam masa yang sama, pembangunan limbungan kapal ini dilaksanakan berasaskan prinsip ekonomi biru dengan penekanan terhadap kelestarian alam sekitar.
Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah diluluskan bagi memastikan projek berjalan mengikut garis panduan tanpa menjejaskan ekosistem laut.
Secara keseluruhan, projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya menjadi pemacu utama kepada pembentukan ekosistem ekonomi maritim moden di Melaka.