Diterbitkan pada 21 April 2026, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Inisiatif jaminan pembiayaan berjumlah RM5 bilion yang diperkenalkan kerajaan diyakini mampu memperkukuh kedudukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengekalkan momentum eksport, khususnya dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, YBhg. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kemudahan pembiayaan berskala lebih besar itu amat penting bagi membantu syarikat berorientasikan eksport mengekalkan aliran tunai, serta memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, akses kepada modal kerja yang mencukupi merupakan faktor kritikal dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan, lebih-lebih lagi ketika syarikat berdepan dengan peningkatan kos input dan cabaran rantaian bekalan global.

“Langkah ini memberikan ruang kepada PMKS untuk terus berkembang dan tidak terjejas akibat kekangan kewangan, sekali gus memastikan mereka kekal berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, jumlah jaminan yang lebih tinggi berbanding dengan sebelum ini dilihat lebih bersesuaian dengan keperluan semasa industri, selain membantu syarikat merancang strategi perniagaan secara lebih mampan.

Dalam pada itu, pemain industri turut digesa mengurus kewangan secara berhemah dengan memberikan tumpuan kepada kecekapan kos, serta mengelakkan ketirisan dalam operasi.

Sementara itu, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan inisiatif berkenaan sebagai langkah segera bagi membantu PMKS mengekalkan operasi dan meningkatkan daya tahan perniagaan.

Skim jaminan tersebut dilaksanakan menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan dengan liputan jaminan sehingga 80 peratus, serta tempoh jaminan yang dilanjutkan sehingga 10 tahun.

Langkah ini dilihat tepat pada masanya memandangkan banyak PMKS kini berdepan dengan tekanan akibat ketidaktentuan ekonomi global, termasuk kenaikan kos logistik dan gangguan rantaian bekalan.

Secara keseluruhan, inisiatif berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan eksport negara, di samping memperkukuh daya tahan sektor PMKS sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia.

Kredit Foto: Facebook Reezal Merican
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi