Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia dan Australia memperkukuh kerjasama strategik dalam rantaian bekalan baja bagi memastikan kestabilan bekalan input pertanian negara, serta menjamin keterjaminan makanan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik hasil perbincangan antara Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Australia, TYT Anthony Albanese, yang mencapai persefahaman penting bagi menangani tekanan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan bahan mentah.
Kerjasama tersebut memberikan tumpuan kepada pengukuhan bekalan input asas pertanian, khususnya bagi menghadapi cabaran geopolitik semasa yang memberikan kesan langsung kepada pengeluaran makanan pada peringkat global.
Malaysia turut memperoleh komitmen Australia untuk membekalkan mineral kritikal, khususnya “rock phosphate” yang merupakan bahan utama dalam penghasilan baja.
Sebagai timbal balas, Malaysia berupaya membekalkan produk baja siap seperti urea bagi memenuhi keperluan Australia, sekali gus mencerminkan hubungan perdagangan dua hala yang saling melengkapi.
Australia berperanan sebagai pengeluar sumber mineral, manakala Malaysia sebagai pengeluar produk hiliran baja berasaskan nitrogen.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan melalui libat urus lanjut melibatkan agensi berkaitan dengannya, serta penggiat industri utama, termasuk Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi memastikan kerjasama ini dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberikan impak langsung kepada sektor pertanian.
Langkah ini dilihat sebagai usaha penting dalam memastikan akses berterusan kepada input kritikal, di samping memperkukuh pengeluaran baja domestik, mengurangkan risiko gangguan bekalan makanan, serta mengekalkan kestabilan pengeluaran komoditi pertanian seperti beras dan sayur-sayuran sepanjang tempoh krisis global.
Selain sektor baja, kedua-dua negara juga bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang pemprosesan dan perdagangan daging halal.