Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melancarkan program KPKM Dunia Agro+ dengan kerjasama Shopee Malaysia sebagai inisiatif memperkasakan usahawan asas tani dalam membina keupayaan perniagaan digital dan meluaskan capaian pasaran melalui platform e-dagang.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin menyasarkan penyertaan sebanyak 200 usahawan meliputi kategori makanan, minuman, snek dan produk segar.
Inisiatif ini memberikan tumpuan kepada peningkatan kemahiran digital dan literasi kewangan bagi membantu peserta mengembangkan perniagaan mereka secara lebih mampan.
Melalui kerjasama tersebut, Shopee akan memainkan peranan sebagai rakan strategik dengan menyediakan sokongan kepada peserta melalui inisiatif “Shopee RaiLokal”, termasuk akses kepada ekosistem digital dan kepakaran dalam perdagangan secara dalam talian bagi membantu usahawan baharu menembusi pasaran yang lebih luas.
Peserta program turut akan menerima latihan berstruktur melalui “Shopee University” yang merangkumi aspek penstriman langsung, pengoptimuman penyenaraian produk dan strategi jualan digital.
Selain itu, pendekatan pendigitalan akan diperkukuh dengan menggalakkan penggunaan saluran interaktif bagi meningkatkan keterlibatan pelanggan dan memperluas capaian pasaran.
Sebagai sokongan tambahan, pakej sokongan penjual bernilai RM320,000 turut disediakan bagi membantu peserta meningkatkan kebolehlihatan kedai, menarik lebih banyak pembeli dan memperkukuh pelibatan pelanggan melalui pelbagai ciri digital melalui platform tersebut.
KPKM menegaskan bahawa kerjasama strategik antara kerajaan dengan sektor swasta ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kapasiti usahawan tani untuk bersaing dalam ekonomi digital.
Inisiatif ini juga selaras dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) dalam usaha membina ekosistem agromakanan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.