Diterbitkan pada 16 April 2026, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik langkah proaktif Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam menambah baik insentif pesawah dan bantuan diesel bagi meringankan beban kos pengeluaran sektor agromakanan.

Langkah tersebut dilihat signifikan dan tepat pada masanya bagi menghadapi tekanan krisis tenaga global yang memberikan kesan kepada kos input dan rantaian bekalan makanan negara.

KPKM menegaskan bahawa pendekatan ini mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.

Antara inisiatif termasuklah peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 yang dijangka memberikan manfaat kepada hampir 200,000 pesawah dalam mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti.

Selain itu, bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026.

Inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih daripada 200,000 petani dan pekebun kecil, serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan turut melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian bagi memudahkan pengusaha sektor agromakanan menjalankan operasi dengan lebih efisien tanpa kekangan birokrasi yang tidak perlu.

KPKM berpandangan bahawa langkah ini akan memberikan impak positif terhadap produktiviti sektor agromakanan, serta memperkukuh keterjaminan makanan negara dalam jangka masa pendek dan masa panjang.

Kementerian juga akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berjalan lancar dan mencapai matlamat yang disasarkan.

Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh sektor pertanian negara sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi