Diterbitkan pada 15 April 2026, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Perai – Kerajaan terus memperkukuh agenda pembangunan bekalan benih dan baka tempatan sebagai langkah strategik bagi menjamin keterjaminan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan pada import.

Usaha ini diperkasakan menerusi penganjuran Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pulau Pinang.

Mesyuarat tersebut melibatkan penyertaan wakil kementerian, agensi kerajaan, serta pakar industri benih dan baka daripada sektor swasta bagi membincangkan hala tuju strategik pembangunan industri benih negara.

Inisiatif Hab Benih Negara dilihat sebagai pendekatan penting bagi memastikan bekalan benih sentiasa mencukupi, khususnya dalam menghadapi tekanan rantaian bekalan global susulan krisis tenaga dan ketidaktentuan pasaran.

Bagi mengurangkan kebergantungan pada benih import, mesyuarat turut membincangkan pengukuhan industri ruminan melibatkan komoditi lembu dan kambing melalui penghasilan baka berkualiti tinggi, serta kerjasama strategik antara kerajaan dengan sektor swasta.

Selain itu, cadangan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Benih sebagai badan kawal selia turut dikaji bagi memastikan standard benih negara memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam sektor pertanian, YB Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengadakan lawatan ke Institut Pertanian Bumbong Lima (IPBL).

Institusi ini berperanan melahirkan tenaga kerja mahir melalui program sijil dan kemahiran dalam bidang pertanian dengan lebih daripada 3,400 graduan telah dilahirkan setakat ini.

Kerajaan turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara sektor awam dengan swasta dalam memperkasakan industri benih dan baka tempatan bagi meningkatkan daya saing sektor agromakanan negara.

Langkah berterusan ini dilihat sebagai kunci utama bagi mencapai keterjaminan makanan dan menyokong sasaran mengurangkan import benih hingga 30 peratus menjelang tahun 2040.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi