Diterbitkan pada 1 April 2026, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap tahun pada 1 Mac, Malaysia memperingati Hari Cukai atau Hari HASiL, suatu tarikh yang signifikan dalam sistem kewangan negara. Sambutan ini melambangkan kesedaran bahawa cukai merupakan sumber utama hasil negara dan asas penting kepada pembangunan ekonomi, sosial serta pentadbiran.

Dalam konteks ini, cukai bukan sekadar kewajipan undang-undang, malah merupakan tanggungjawab moral setiap rakyat yang berkemampuan. Melalui hasil cukai, kerajaan berupaya menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur, keselamatan dan program pembangunan yang memberikan manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Sambutan Hari Cukai mula diperkenalkan pada 1 Mac 1969 sebagai usaha meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan percukaian. Sehingga kini, sambutan tersebut terus diraikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sebagai agensi utama yang bertanggungjawab mentadbir dan memungut cukai langsung negara.

Penubuhan HASiL pada 1 Mac 1996 melalui Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kecekapan sistem percukaian negara. Perubahan status daripada Jabatan Hasil Dalam Negeri kepada badan berkanun memberikan autonomi yang lebih luas dalam aspek pengurusan, sekali gus meningkatkan keberkesanan pentadbiran cukai.

HASiL berperanan sebagai ejen kerajaan dalam menaksir, mengutip dan menguatkuasakan cukai berdasarkan pelbagai peruntukan undang-undang seperti Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949 dan beberapa akta lain yang berkaitan dengannya. Melalui kerangka perundangan ini, sistem percukaian negara dapat dilaksanakan secara lebih telus, sistematik dan berkesan.

Dalam ekonomi moden, hasil cukai menjadi tulang belakang kepada kewangan negara. Cukai langsung seperti cukai pendapatan individu dan korporat menyumbang kira-kira 40 peratus daripada hasil negara, menjadikannya sumber pendapatan yang amat signifikan. Hasil ini digunakan untuk membiayai pelbagai sektor utama termasuk pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, keselamatan negara dan program kebajikan sosial. Tanpa hasil cukai yang mencukupi, keupayaan kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan asas kepada rakyat akan terjejas.

Secara umum, sistem percukaian Malaysia terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung. Cukai langsung dikenakan secara terus kepada individu atau syarikat berdasarkan pendapatan atau keuntungan, manakala cukai tidak langsung melibatkan barangan dan perkhidmatan seperti cukai jualan dan perkhidmatan. Dalam hal ini, HASiL memainkan peranan utama dalam pengurusan cukai langsung yang menjadi komponen penting hasil negara.

Dari segi prestasi kutipan, hasil cukai negara menunjukkan peningkatan yang ketara sejajar dengan perkembangan ekonomi. Kutipan cukai oleh HASiL meningkat daripada sekitar RM20 bilion pada tahun 1990 kepada RM50 bilion pada tahun 2000, seterusnya mencecah RM86 bilion pada tahun 2010.

Trend peningkatan ini berterusan apabila kutipan mencapai RM114 bilion pada tahun 2015, RM127 bilion pada tahun 2020 dan meningkat lagi kepada RM175 bilion pada tahun 2022. Pada tahun 2024, HASiL mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM184.8 bilion, berbanding dengan RM183.3 bilion pada tahun sebelumnya. Pencapaian ini mencerminkan peningkatan tahap pematuhan pembayar cukai, serta keberkesanan langkah penguatkuasaan dan pendigitalan sistem percukaian.

Seiring dengan perkembangan ekonomi digital, HASiL turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memodenkan sistem percukaian. Antaranya termasuklah pelaksanaan e-Filing untuk pengisytiharan cukai secara dalam talian, sistem e-Invois bagi meningkatkan ketelusan transaksi, serta pembangunan pangkalan data digital untuk memantau pematuhan cukai. Transformasi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah membantu mengurangkan ketirisan hasil negara.

Walau bagaimanapun, sistem percukaian negara masih berdepan dengan beberapa cabaran. Perkembangan ekonomi digital menyukarkan pengenaan cukai secara tradisional terhadap syarikat global, manakala isu pengelakan cukai oleh syarikat multinasional dan kewujudan ekonomi tidak formal turut menjejaskan kutipan hasil. Oleh itu, kerajaan terus memperkukuh sistem percukaian melalui reformasi dasar fiskal dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan sistem yang lebih adil dan berkesan.

Dalam jangka masa panjang, pembinaan budaya membayar cukai merupakan faktor penting dalam memastikan kestabilan ekonomi negara. Negara maju seperti Jepun, Jerman dan Korea Selatan menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi kerana rakyat memahami peranan cukai sebagai sumbangan kepada pembangunan negara. Malaysia turut bergerak ke arah tersebut melalui pelbagai inisiatif kesedaran, pendidikan percukaian dan penguatkuasaan undang-undang.

Menjelang masa hadapan, sistem percukaian Malaysia dijangka terus berkembang seiring perubahan ekonomi global. Antara tumpuan utama termasuklah peluasan cukai ekonomi digital, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan dalam audit cukai, serta pengukuhan kerjasama antarabangsa bagi menangani isu pengelakan cukai. Langkah ini dijangka menjadikan sistem percukaian negara lebih telus, cekap dan berdaya saing.

Kesimpulannya, Hari Cukai yang disambut pada setiap 1 Mac mengingatkan rakyat bahawa cukai merupakan asas kepada pembangunan negara. Kejayaan sistem percukaian tidak hanya bergantung pada kecekapan agensi pemungut, tetapi juga pada kesedaran dan komitmen rakyat untuk memenuhi tanggungjawab mereka. Dengan sistem yang kukuh dan budaya pematuhan yang tinggi, hasil cukai akan terus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan negara.

Penulis merupakan pengamal media sejak tahun 1979 sebelum bersara selepas lebih daripada tiga dekad berkhidmat.

Kredit Foto: HASiL
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi