Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkukuh kedudukan mangga harum manis sebagai produk agro premium negara menerusi strategi pemasaran bersepadu, sekali gus mengangkat Perlis sebagai pengeluar utama yang berdaya saing pada peringkat global.
Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, pendekatan agensi itu meliputi pembangunan ekosistem pemasaran menyeluruh, termasuk pemasaran fizikal melalui rangkaian pusat operasi, program jualan promosi, serta pengembangan pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah Jualan Terus dari Ladang, Program Jualan Agro MADANI, Agrofiesta dan Perlis Day di Lembah Klang, selain penyertaan dalam program promosi global seperti Malaysia Fest di Singapura.

Dalam pada itu, FAMA turut memperkukuh penjenamaan harum manis melalui platform digital seperti AgroBazaar, di samping menggalakkan penggunaan media sosial dan e-dagang dalam kalangan usahawan.
Sehingga April 2026, seramai 40 orang peniaga berdaftar di platform berkenaan dengan 10 daripadanya aktif memasarkan harum manis.
Bagi meningkatkan kualiti pengeluaran, FAMA melaksanakan latihan dan bimbingan kepada pekebun kecil, termasuk aspek pengendalian lepas tuai dan pemasaran, melibatkan kira-kira 200 orang peserta setakat ini.

Namun demikian, industri harum manis berdepan dengan cabaran rantaian bekalan seperti pengeluaran bermusim, kekangan logistik, serta isu penipuan ketulenan produk.
Sehubungan dengan itu, FAMA memperkenalkan program ladang kontrak, memperkukuh saluran pemasaran, serta melaksanakan standard penggredan, pembungkusan dan pelabelan bagi memastikan kualiti produk kekal terjamin.
Mengulas potensi eksport, beliau berkata harum manis berupaya menjadi produk identiti negara, namun kekangan kapasiti pengeluaran, pematuhan standard antarabangsa dan rantaian sejuk perlu ditangani.
FAMA juga memberikan tumpuan kepada pembangunan industri secara mampan melalui sokongan kepada agropelancongan dan usahawan muda, termasuk penyaluran hampir RM600,000 geran kepada pengusaha tempatan.
Usaha berterusan ini dijangka memperkukuh kedudukan harum manis sebagai ikon agro premium negara, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Perlis.