Diterbitkan pada 10 April 2026, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lundu – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu mengadakan lawatan kerja ke Projek Tanaman Padi di Tanjung Purun dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara dan meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras.

Projek yang meliputi kawasan seluas kira-kira 140 hektar itu sedang dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi komersial bagi Sarawak.

Tanjung Purun merupakan satu daripada 48 kawasan yang dikenal pasti untuk pembangunan tanaman padi komersial di seluruh Sarawak yang lengkap dengan pembangunan infrastruktur moden sehingga peringkat “tersier”.

Penanaman padi di kawasan ini dilaksanakan menggunakan varieti padi biak baka dalam (inbred) moden dan varieti padi hibrid dari China, iaitu GS-30.

Penggunaan varieti hibrid tersebut bertujuan meningkatkan hasil tuaian, memperbaik kualiti beras dan seterusnya meningkatkan kecekapan pengeluaran.

Inisiatif ini dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti keseluruhan kawasan penanaman di Tanjung Purun.

Melalui perancangan strategik, penerapan teknologi moden dan kerjasama erat antara kerajaan dengan penggiat industri dan pesawah kecil, Sarawak berpotensi muncul sebagai satu daripada jelapang padi utama negara pada masa hadapan. Perkembangan ini sekali gus akan menyumbang secara signifikan kepada keterjaminan makanan negara.

Lawatan ini turut dihadiri oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, YB Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Anak Utom; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), YB Datuk Ts Mustapa Sakmud; dan Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), YB Tan Sri William Mawan Ikom.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Dato’ Luqman Ahmad; ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua jabatan, agensi persekutuan dan Wilayah Sarawak, serta pegawai kanan kementerian.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi