Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSri Aman – YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merasmikan Program Gelombang Padi Sarawak: SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Hari Bersama Pelanggan IADA Batang Lupar 2026 di Dewan Nangkai, Stumbin.
Program SMART SBB merupakan inisiatif kerjasama strategik awam–swasta yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras negara kepada 80 peratus menjelang tahun 2030, di samping meningkatkan taraf hidup dan pendapatan pesawah.
Inisiatif ini dilaksanakan tanpa melibatkan kos tambahan kepada kerajaan, sebaliknya kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh syarikat peneraju.
Program SMART SBB di Sarawak bermula secara rintis pada luar musim tahun 2021 di Blok C Tanjung Bijat, Sri Aman di bawah seliaan IADA Batang Lupar.
Projek ini melibatkan kerjasama strategik antara Advansia, BERNAS dan 219 pesawah tempatan di kawasan seluas 105 hektar.
Pelaksanaannya menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan peningkatan purata hasil padi daripada 2.8 tan per hektar kepada 5.5 tan per hektar.
KPKM turut menyatakan sokongan berterusan terhadap usaha Kerajaan Sarawak dalam memodenkan sektor pertanian bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada beras import.
Dalam majlis yang sama, sebanyak lima bantuan projek pembangunan pertanian bernilai keseluruhan RM6.9 juta diserahkan kepada petani.
Bantuan tersebut merangkumi penyediaan input dan jentera pertanian, pembersihan kawasan penanaman padi, menaik taraf jalan ladang, serta penyelenggaraan sistem saliran dan pengairan bagi memperkukuh penggunaan teknologi moden dalam penanaman padi.
Selepas majlis perasmian, YB Menteri turut mengadakan lawatan ke Tapak Projek SMART SBB Blok C, Tanjung Bijat bagi menyaksikan demonstrasi penggunaan mesin paddy transplanter dalam proses penanaman padi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), YB Tan Sri William Mawan Anak Ikom; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, YBhg. Dato’ Luqman Ahmad; ADUN N.31 Bukit Bangunan, YB Datuk Mong Anak Dagang; ADUN N.28 Lingga, YB Puan Dayang Noorazah Awang Sohor, serta pegawai kanan kementerian, dan agensi persekutuan dan negeri.