Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa penggiat industri pengangkutan pelancongan supaya mempercepat penyerahan data operasi dan kewangan bagi memudahkan pelaksanaan langkah sokongan bersasar bagi menghadapi peningkatan kos operasi susulan ketidaktentuan global.
Menurut MOTAC, langkah tersebut diambil sebagai respons terhadap perubahan persekitaran global yang memberikan kesan kepada kos operasi, khususnya melibatkan turun naik harga tenaga.
MOTAC kini berinteraksi rapat dengan pihak berkepentingan industri bagi merangka pendekatan sokongan yang praktikal, mampan dan berkesan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan bahawa penyerahan data yang lengkap dan boleh disahkan amat penting bagi memastikan bantuan yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan industri.
Beliau berkata, maklumat terperinci seperti model operasi, kekerapan perjalanan, penggunaan bahan api, jumlah penumpang, serta trend hasil dan kos diperlukan untuk menilai struktur kos secara tepat.
Menurut beliau, kerajaan juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti kemungkinan memperkenalkan mekanisme rebat cukai khusus untuk sektor pengangkutan pelancongan.
Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kos pengusaha, di samping memperkukuh daya tahan industri, serta memastikan kelangsungan operasi.
Dalam pada itu, MOTAC mengakui terdapat perbezaan struktur dalam industri, termasuk perkhidmatan bas ekspres yang beroperasi di laluan tetap dengan permintaan stabil berbanding dengan bas persiaran yang lebih fleksibel dari segi laluan, penggunaan bahan api dan jumlah penumpang.
Perbezaan ini akan diambil kira bagi memastikan setiap langkah yang diperkenalkan bersifat bersasar dan praktikal.
Kerajaan turut menekankan bahawa sebarang bentuk bantuan mesti berasaskan data yang jelas dan keperluan sebenar bagi menjamin ketelusan, akauntabiliti serta penggunaan sumber yang berkesan.
Selain itu, aspek pematuhan, pelesenan dan standard operasi juga akan diberikan perhatian dalam pembangunan dasar bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
MOTAC menegaskan komitmennya untuk terus mengimbangi keperluan sokongan kepada industri dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Kerjasama erat antara kerajaan dengan penggiat industri dilihat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan dapat memberikan manfaat kepada pihak yang benar-benar memerlukan, serta menyokong kelangsungan sektor pelancongan negara.