Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sektor pelancongan Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang kukuh meskipun berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah, apabila aliran ketibaan pelancong antarabangsa kekal mencatat pertumbuhan positif merentasi pelbagai pasaran utama.
Bagi tempoh 1 Mac 2026 hingga 26 Mac 2026, Malaysia merekodkan sebanyak 2,835,724 ketibaan pelancong antarabangsa, meningkat 2.4 peratus berbanding dengan 2,769,305 ketibaan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Prestasi ini didorong terutamanya oleh pasaran Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 2,093,096 ketibaan, diikuti peningkatan ketara dari Asia Timur sebanyak 12.8 peratus, termasuk lonjakan 22.7 peratus dari China.
Selain itu, beberapa wilayah lain turut mencatat pertumbuhan positif, termasuk Asia Tengah yang meningkat 21 peratus, Oceania sebanyak 20.2 peratus dan Eropah sebanyak 5.2 peratus.
Namun demikian, ketibaan pelancong dari Timur Tengah menurun sebanyak 40.3 peratus susulan ketegangan geopolitik semasa, manakala pasaran Afrika dan Asia Selatan masing-masing mencatatkan sedikit penurunan.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), data ini menunjukkan sektor pelancongan negara kekal disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pasaran utama, khususnya ASEAN dan Asia.
Sehubungan dengan itu, kerajaan akan memperkukuh strategi dengan memberikan tumpuan kepada pasaran berprestasi tinggi dan stabil seperti China, Indonesia, Thailand, Jepun, Korea Selatan, India, Bangladesh dan Vietnam, di samping memperluas pasaran jarak jauh termasuk Kazakhstan, Rusia, Perancis, Jerman dan Australia.
Pendekatan berasaskan data turut diperkasakan apabila Tourism Malaysia menyediakan laporan harian ketibaan pelancong dan trend pasaran bagi menyokong keputusan strategik secara masa nyata.
Pada masa yang sama, kementerian memantau rapi aliran tambang udara, kekerapan penerbangan dan tahap kesambungan udara bagi memastikan sektor ini kekal kompetitif.
Bagi meningkatkan nilai industri, Malaysia turut memberikan penekanan kepada segmen pelancongan premium dan mesra Muslim dengan fokus kepada peningkatan kualiti pengalaman pelancong, sumbangan ekonomi yang lebih tinggi dan pengukuhan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam pelancongan mesra Muslim.
Sektor penerbangan pula terus menunjukkan perkembangan positif tanpa sebarang pembatalan laluan dilaporkan. Beberapa laluan baharu dan tambahan telah diperkenalkan, termasuk oleh Air Algérie, Aero Dili dan Nok Air, selain pengembangan operasi oleh AirAsia, Batik Air Malaysia, serta beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain seperti Juneyao Airlines, Qingdao Airlines dan Lufthansa yang dijadualkan memulakan laluan Frankfurt–Kuala Lumpur pada Oktober 2026.
MOTAC turut mempergiat sesi libat urus bersama-sama penggiat industri bagi menangani cabaran operasi semasa, termasuk tekanan kos bahan api. Penggiat industri digalakkan menyalurkan data dan maklum balas bagi membantu penggubalan dasar yang lebih berkesan.
Dalam pada itu, kerajaan menegaskan komitmen untuk terus bertindak secara proaktif dan kolektif bagi memastikan kestabilan ekonomi negara, di samping mengekalkan daya tahan sektor pelancongan.
Usaha ini penting bagi menjamin pertumbuhan berterusan, serta memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat, stabil dan berdaya saing pada peringkat global.