Diterbitkan pada 3 April 2026, 19:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan – Menteri Ekonomi, YB Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengadakan lawatan kerja bagi meninjau status pembinaan jalan baharu dari Nilai–Labu ke Bandar Enstek di bawah projek Malaysia Vision Valley (MVV).

Lawatan tersebut memberikan tumpuan kepada usaha turun padang bagi memastikan perkembangan projek berjalan lancar dan menepati jadual yang ditetapkan.

Projek yang melibatkan kos sebanyak RM557.5 juta ini dijangka siap pada suku pertama tahun 2027.

Projek pembinaan jalan ini dijangka dapat menambah baik jaringan jalan raya ke kawasan MVV dan Seremban Barat, sekali gus menyokong pembangunan kawasan tersebut sebagai koridor pertumbuhan strategik yang merangkumi sektor pelaburan, industri, logistik, perumahan dan mobiliti tenaga kerja.

Selain meningkatkan kesalinghubungan, projek ini turut memberikan manfaat langsung kepada pengguna dan komuniti setempat melalui perjalanan yang lebih lancar, pengurangan kesesakan lalu lintas dan akses yang lebih baik ke kawasan ekonomi utama di Negeri Sembilan.

Menurut YB Akmal Nasrullah, kelancaran akses infrastruktur akan mempercepat pergerakan ekonomi dan membuka peluang lebih luas kepada rakyat, pekerja, peniaga dan pelabur.

Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu memperkukuh penyelarasan dan mempercepat pelaksanaan tindakan susulan bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan momentum ekonomi atau menyebabkan peningkatan kos pembangunan.

Dalam konteks semasa yang mencabar termasuk ketidaktentuan global, pendekatan yang cepat, bersepadu dan pragmatik amat diperlukan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat disalurkan kepada rakyat tanpa kelewatan.

Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri, agensi pelaksana, pihak berkuasa teknikal, syarikat utiliti dan kontraktor bagi memastikan projek diselesaikan mengikut jadual.

Pemantauan di lapangan akan terus diperkasakan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan dan pencapaian objektif pembangunan.

Lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen Kementerian Ekonomi dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara berkesan dan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-13) 2026–2030 yang menekankan agenda “Melakar Semula Pembangunan” ke arah pertumbuhan yang lebih mampan, inklusif dan bernilai tinggi.

Selain itu, pendekatan ini turut bertujuan memperkukuh ekonomi domestik dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi