Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan tindakan berperingkat bagi menangani peningkatan kos operasi dan memperkukuh industri padi negara susulan kenaikan harga diesel dan cabaran semasa sektor pertanian.
Kementerian memaklumkan bahawa sebelum berlakunya pergolakan di Timur Tengah dan penyasaran semula subsidi diesel pada tahun 2024, kerajaan telah mengambil langkah awal dengan meningkatkan kadar bantuan pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar.
Selain itu, bantuan upah menuai sebanyak RM50 sehektar turut diperkenalkan bagi meringankan beban kos operasi pesawah.
Bagi menghadapi cabaran cuaca kering dan kemarau khususnya di utara negara, pelbagai langkah segera telah dilaksanakan termasuk Operasi Pembenihan Awan pada Februari 2026 dan penggunaan kaedah penanaman Tabur Terus Kering (TTK) di kawasan sumber air terhad.
Pesawah yang terjejas juga dinilai untuk menerima bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Skim Takaful Tanaman Padi.
Pada masa sama, Mesyuarat Pasca Kabinet KPKM telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara sebagai platform rasmi yang menghimpunkan semua penggiat industri termasuk wakil pesawah, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jawatankuasa ini berperanan membincangkan dan menyelesaikan isu industri secara kolektif dan menyeluruh.
KPKM turut mengadakan sesi libat urus bersama-sama penggiat industri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berhubung dengan kesan konflik di Asia Barat terhadap sektor pertanian.
Susulan perkembangan semasa termasuk kenaikan harga minyak dunia, kementerian juga menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti impak keseluruhan dan merangka tindakan lanjut secara komprehensif.
Kementerian menegaskan bahawa bantuan subsidi input seperti benih, baja dan racun tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa walaupun berlaku kenaikan kos pada peringkat global.
Selain itu, dakwaan berhubung dengan kelewatan bayaran insentif tunggu tuai RM600 dinafikan, sebaliknya bantuan tersebut merupakan bantuan khas secara sekali bayar bagi tahun 2023 dan tahun 2024 sahaja.
Dalam perkembangan berkaitan dengannya, KPKM memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi kesan kenaikan harga diesel terhadap kos operasi sektor pertanian dan perkara itu sedang diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
Kementerian juga menegaskan bahawa intervensi sewajarnya boleh dilaksanakan pada bila-bila masa di bawah peruntukan sedia ada sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian pengeluaran dan bekalan padi, serta beras negara.
Kerajaan MADANI melalui KPKM akan terus mengambil pendekatan proaktif, inklusif dan berasaskan data bagi memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara dan keterjaminan makanan negara kekal kukuh.