Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSelangor – Program pemecut industri sains hayat negeri, Selangor Life Sciences Accelerator Programme (SLSAP) 2025 menonjolkan 10 syarikat berpotensi tinggi yang berpeluang menerima pelaburan antara RM50,000 hingga RM250,000 setiap satu, sekali gus memperkukuh ekosistem inovasi dan teknologi di negeri itu.
Program yang dilaksanakan oleh Invest Selangor dengan kerjasama NEXEA itu melabuhkan tirainya melalui acara “Demo Day” yang menghimpunkan pelabur, rakan korporat dan pemain industri bagi menilai potensi komersial syarikat terpilih.
Sepanjang tempoh tujuh bulan pelaksanaan, program tersebut menerima sebanyak 168 permohonan daripada syarikat peringkat awal dan syarikat yang sedang berkembang dalam bidang bioteknologi, kesihatan digital, agritech, bahan termaju, serta penyelesaian kelestarian. Daripada jumlah itu, sebanyak 21 syarikat dipilih menyertai program pecutan intensif sebelum 10 daripadanya disenaraikan sebagai syarikat terbaik.
Peserta program turut menerima lebih daripada 280 jam bimbingan berstruktur yang merangkumi penilaian bertaraf pelabur, pengesahan saintifik, strategi pengkomersialan dan kesiapsiagaan modal.
Selain itu, mereka berpeluang menyertai kelas induk, sesi rangkaian strategik dan berinteraksi secara langsung dengan pemimpin industri dan pelabur modal teroka.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, YB Ng Sze Han berkata, penganjuran “Demo Day” mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem sains hayat yang kukuh, serta berdaya saing pada peringkat serantau.
Menurut beliau, SLSAP bukan sekadar program pecutan keusahawanan, sebaliknya berperanan sebagai platform strategik yang menghubungkan inovasi tempatan dengan peluang pelaburan dan pasaran global. Inisiatif tersebut juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai hab utama sains hayat dan teknologi termaju di Asia Tenggara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Encik Hasan Azhari Idris berkata, program berkenaan memberikan tumpuan kepada pembinaan asas perniagaan yang mampan, serta meningkatkan daya tarikan komersial syarikat permulaan supaya lebih bersedia menarik pelabur.
Beliau menjelaskan bahawa sokongan terhadap syarikat terpilih tidak terhenti selepas program tamat, sebaliknya diteruskan melalui peluang pelaburan dan akses kepada rangkaian mentor dan pelabur berpengalaman bagi mempercepat pertumbuhan syarikat.
Antara syarikat yang tersenarai dalam kelompok terbaik termasuklah PlusVibes, YSBiotik Sdn. Bhd., GreenSHeart Sdn. Bhd., Bioloop Sdn. Bhd., Materials In Works, Ocean Rich Resources, Microbiome Sdn. Bhd., Health Digital Technologies Sdn. Bhd. (DoctorOnCall), Pixelence Sdn. Bhd. dan Promed Health Ventures Sdn. Bhd. Syarikat ini menawarkan pelbagai inovasi meliputi teknologi mikrobiologi, bioteknologi, platform kesihatan digital dan bahan lestari.
Susulan kejayaan program tersebut, Invest Selangor merancang untuk memperluas pendekatan pembangunan syarikat pada tahun 2026 melalui beberapa inisiatif baharu, termasuk program penghubung pelabur bagi perusahaan kecil dan sederhana, serta program pembangunan syarikat pertengahan. Inisiatif ini diharap dapat terus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pusat inovasi dan pelaburan berasaskan teknologi di rantau ini.