Diterbitkan pada 7 Mac 2026, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merancang untuk memperluas kemudahan TikTok Shop LIVE Hub ke beberapa lokasi baharu, termasuk Pulau Pinang dan Kuantan pada tahun ini bagi memperkukuh sokongan kepada usahawan tempatan dalam memanfaatkan platform digital.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong berkata, langkah tersebut bertujuan meningkatkan peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk memasarkan produk mereka secara lebih efektif melalui siaran langsung dalam platform TikTok.

Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara KUSKOP dengan TikTok Shop bagi memperkasakan ekonomi digital dalam kalangan usahawan tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026 di Putrajaya pada Khamis.

Melalui penyediaan kemudahan LIVE Hub, usahawan bukan sahaja berpeluang menjalankan siaran langsung dengan lebih profesional, malah turut mengikuti latihan dan bimbingan khusus bagi meningkatkan kemahiran pemasaran digital.

Usaha tersebut sekali gus membantu meningkatkan daya saing perniagaan kecil dalam pasaran yang semakin dipacu teknologi.

Program kerjasama itu turut menunjukkan impak yang memberangsangkan apabila kira-kira 700 perusahaan kecil dan sederhana tempatan yang menyertai pembangunan usahawan berjaya mencatatkan jumlah jualan melebihi RM28 juta melalui platform TikTok Shop.

Pencapaian tersebut membuktikan bahawa penggunaan teknologi digital mampu membuka peluang besar kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka, serta menembusi pasaran yang lebih luas.

Sebahagian besar penjual yang terlibat dalam program tersebut terdiri daripada usahawan wanita, sekali gus mencerminkan pelibatan aktif golongan itu dalam sektor ekonomi digital.

Menurut Steven Sim, perkembangan tersebut menunjukkan bahawa usaha kerajaan memperkasakan usahawan tempatan melalui platform digital turut memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat dan menyokong pembangunan ekonomi yang lebih inklusif.

Sehingga kini, beberapa TikTok Shop LIVE Hub telah beroperasi di negeri seperti Sabah, Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan. Kemudahan tersebut menyediakan studio siaran langsung yang lengkap dan menganjurkan pelbagai sesi latihan secara bersemuka bagi membantu usahawan memahami strategi pemasaran digital yang lebih berkesan.

Melalui pelaksanaan program berkenaan, lebih daripada 3,000 PKS telah mendapat manfaat daripada latihan dan bimbingan yang disediakan.

LIVE Hub turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti siaran langsung dalam kalangan usahawan tempatan dengan lebih daripada 1,800 jam siaran langsung direkodkan setakat ini melibatkan jumlah tontonan melebihi 40 juta.

Dengan peluasan kemudahan ke Pulau Pinang dan Kuantan, kerajaan berharap lebih banyak usahawan tempatan dapat memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital.

Langkah tersebut juga selaras dengan usaha berterusan KUSKOP untuk meningkatkan kemahiran digital usahawan dan membina jenama tempatan yang lebih berdaya tahan dan mampu bersaing pada peringkat lebih luas.

Kredit Foto: Facebook YB Steven Sim Chee Keong
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi