Diterbitkan pada 24 Februari 2026, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Isu kenaikan harga juadah di bazar Ramadan kembali menjadi polemik hangat dalam kalangan masyarakat pada tahun ini. Peningkatan kos sara hidup, serta tekanan rantaian bekalan memberikan kesan langsung terhadap struktur kos peniaga kecil.

Antara faktor utama yang dikenal pasti termasuklah kenaikan harga bahan mentah seperti telur, ayam, gula dan bahan api memasak, selain peningkatan kos sewaan tapak niaga yang semakin tinggi di lokasi tumpuan.

Terdapat laporan bahawa sesetengah juadah mengalami kenaikan sehingga RM2 berbanding dengan tahun sebelumnya. Menurut laporan akhbar Kosmo! bertarikh 21 Februari 2026, harga ayam golek di sesetengah lokasi dilaporkan mencecah RM60 seekor.

Antara harga lain yang diperkatakan termasuklah karipap sehingga RM10 sebungkus, martabak RM10 sekeping, roti john ayam RM20, roti john daging RM25, serta air balang RM8 bagi cawan kecil dan RM15 bagi cawan besar. Kenaikan ini mencetuskan reaksi negatif pengguna sehingga ada yang melabelkannya sebagai “cekik darah”.

Bagi mengurangkan beban rakyat, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan 116 Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negara yang menawarkan juadah pada harga RM5 dan ke bawah. Menurut laporan Buletin TV3 pada 20 Februari 2026, inisiatif ini berjaya menarik kira-kira 3,000 orang peniaga sejak diperkenalkan empat tahun lalu.

Antara pengisian Bazar Ramadan Rahmah 2026 termasuklah pelaksanaan Program Ihsan Food Bank (i-FB), iaitu penjenamaan semula MySaveFood yang menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan. Selain itu, peniaga terlibat turut menerima insentif seperti kad diskaun pembelian bahan mentah bagi mengurangkan kos operasi.

Dinamika Pasaran: Puding Karamel dan Quesillo

Dalam landskap bazar Ramadan, hidangan pencuci mulut kekal menjadi tarikan utama. Puding karamel misalnya, telah lama bertapak sebagai juadah kegemaran pelbagai lapisan umur. Teksturnya yang lembut dengan lapisan gula hangus menjadikannya pilihan popular sejak era tahun 1980-an dan tahun 1990-an, khususnya dalam majlis kenduri dan keraian.

Sekitar tahun 2015 hingga tahun 2018, puding karamel dikomersialkan secara lebih meluas melalui pengeluaran berasaskan kediaman. Penggunaan bekas kecil bagi menyeragamkan saiz dan harga jualan mempercepat pertumbuhan pasaran.

Ketika pandemik COVID-19, jualannya melonjak susulan trend perniagaan makanan dari rumah yang dipromosikan menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Kemunculan quesillo atau leche flan pula memperlihatkan peralihan selera sebahagian pengguna kepada produk pencuci mulut premium. Hidangan yang popular di negara Amerika Latin dan Filipina ini mula mendapat tempat di Malaysia sekitar tahun 2018 dan tahun 2019. Berbeza daripada puding karamel tradisional, quesillo lazimnya menggunakan teknik bain-marie dalam ketuhar dan menghasilkan tekstur lebih padat, berkrim, serta berliang halus.

Analisis Kos Pengeluaran

Dari sudut ekonomi mikro, penentuan harga sesuatu produk makanan bergantung pada kos bahan mentah, kos utiliti, kos pembungkusan, serta margin keuntungan yang disasarkan.

Bagi pengeluaran 20 bekas kecil (100 ml) puding karamel, anggaran kos bahan mentah ialah sekitar RM20, bersamaan dengan kira-kira RM1 seunit. Setelah mengambil kira kos gas, elektrik dan susut nilai peralatan, harga jualan munasabah ialah antara RM2.50 hingga RM3 seunit. Sekiranya dijual pada harga RM8 bagi bekas 450 ml, harga tersebut masih dalam julat wajar berdasarkan skala isi padu dan kos pengeluaran.

Sebaliknya, quesillo memerlukan bahan premium seperti krim keju, krim putar dan susu pekat manis dalam kuantiti lebih besar. Anggaran kos adunan sekitar RM26 hingga RM28 mampu menghasilkan 10 bekas hingga 12 bekas 100 ml, menjadikan kos kandungan sekitar RM2.30 hingga RM2.50 seunit. Apabila dicampurkan kos pembungkusan dan kos overhed, jumlahnya boleh mencecah RM3.20. Dengan sasaran margin keuntungan 60 peratus hingga 70 peratus, harga jualan antara RM7 hingga RM10 bagi 100 ml adalah rasional dari sudut perniagaan.

Persepsi Harga dan Nilai

Perbezaan harga antara puding karamel dengan quesillo bukan sekadar soal bahan, tetapi turut melibatkan tempoh penyediaan, penggunaan tenaga, serta penjenamaan produk. Puding karamel boleh disiapkan dalam tempoh sekitar 25 minit sama ada melalui kaedah kukus atau bakar. Quesillo pula memerlukan masa antara satu jam setengah hingga tiga jam untuk mencapai tekstur optimum.

Dalam konteks bazar Ramadan, isu “mahal” atau “murah” sering kali dipengaruhi persepsi nilai pengguna. Produk yang menggunakan bahan asas dan proses ringkas lazimnya dinilai sebagai makanan harian, manakala produk berasaskan bahan premium dengan teknik lebih kompleks diletakkan dalam kategori hidangan istimewa.

Secara keseluruhannya, kenaikan harga juadah di bazar Ramadan perlu dilihat melalui lensa kos pengeluaran dan struktur pasaran semasa. Walaupun terdapat peniaga yang mengambil kesempatan, tidak semua kenaikan harga bersifat manipulatif. Dalam kes puding karamel dan quesillo, perbezaan harga mencerminkan variasi kos bahan, teknik penyediaan dan kedudukan pasaran.

Oleh itu, keseimbangan antara kemampuan pengguna dengan kelangsungan perniagaan peniaga kecil perlu terus diberikan perhatian. Inisiatif seperti Bazar Ramadan Rahmah memperlihatkan usaha intervensi kerajaan dalam menstabilkan harga, namun pendidikan kepenggunaan dan ketelusan kos juga penting bagi memastikan pasaran bazar Ramadan kekal mampan dan adil kepada semua pihak.

Dr. Khairul Nizam bin Zainal Badri, Pensyarah di Pusat Pengajian Al Mansoorah.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi