Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 28 November 2025, sebanyak 16 orang pelajar daripada empat buah sekolah berasrama penuh, iaitu Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng dan Sekolah Menengah Sains Tapah bersama-sama dua orang guru pengiring telah diundang menyertai lawatan pendidikan ke Bandar Echizen, Fukui, Jepun.
Para pelajar yang terpilih merupakan pelajar terbaik bagi pengajian bahasa Jepun di sekolah masing-masing. Lawatan selama tujuh hari ini dianjurkan secara bersama oleh kerajaan tempatan Fukui dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Kehadiran delegasi pelajar Malaysia ini mendapat sambutan hangat daripada komuniti tempatan Echizen, termasuk Datuk Bandar Echizen sendiri, malah liputan awal turut disiarkan dalam media tempatan.
Sepanjang lawatan, para pelajar dibawa melawat pusat pengilangan pedang tradisional Jepun, muzium, sekolah, serta universiti di sekitar Fukui. Mereka turut menyertai aktiviti bersama-sama pelajar Jepun dan mengadakan sesi ramah mesra dengan pihak berkuasa tempatan.
Pada zahirnya, lawatan seumpama ini sering ditanggapi sebagai program pendidikan atau “lawatan sambil belajar”. Namun demikian, dari sudut ekonomi dan hubungan antarabangsa, program pertukaran pelajar membawa implikasi yang jauh lebih luas.
Peranan pelajar dalam konteks ini tidak terhad kepada proses pembelajaran semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai penghubung merentas sempadan budaya, sosial dan politik.

Bagi ekonomi moden, kekuatan sesebuah negara tidak lagi diukur semata-mata melalui jumlah kilang, nilai eksport dan import atau kekayaan sumber asli. Sebaliknya, daya saing ekonomi semakin ditentukan oleh keupayaan masyarakatnya untuk berinteraksi, membina kepercayaan dan bekerjasama merentasi sempadan negara dan budaya.
Pandangan ini seiring dengan pemikiran tokoh ekonomi dunia. Amy Chua menegaskan bahawa keterbukaan ekonomi rentas budaya berpotensi menjana pertumbuhan pesat, namun memerlukan pengagihan manfaat yang adil bagi mengelakkan ketegangan sosial.
Joseph Stiglitz pula menekankan peranan aliran maklumat, kepercayaan dan institusi yang inklusif bagi memastikan interaksi ekonomi global tidak meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat.
Paul Romer melihat idea dan inovasi yang lahir daripada keterbukaan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, manakala Amartya Sen menilai pembangunan ekonomi sebagai proses memperluas keupayaan manusia untuk berkomunikasi dan bekerjasama.
Douglass North pula menggariskan kepentingan institusi bagi mengurangkan halangan kepada interaksi ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
Berteraskan kesedaran ini, Malaysia telah sekian lama melaksanakan program pertukaran pelajar di dalam dan luar negara, sama ada dalam bentuk lawatan jangka masa pendek mahupun pengajian penuh.
Fukui dan Echizen turut mengambil pendekatan yang sama dengan menjadikan hubungan diplomatik dan pemahaman silang budaya sebagai aset strategik dalam pembangunan ekonomi. Kerajaan wilayah Fukui menitikberatkan pembangunan modal insan berpengetahuan global yang mampu menghubungkan ekonomi tempatan dengan rangkaian antarabangsa.
Di Fukui, universiti tempatan memainkan peranan penting dalam membina jambatan silang budaya melalui kerjasama dengan institusi pendidikan di pelbagai negara, termasuk Malaysia. Melalui jaringan antarabangsa ini, pelajar bukan sahaja melawat dan mengenali sesebuah bandar, malah berpeluang memahami cara berfikir, sistem nilai, budaya kerja dan amalan sosial masyarakat asing.
Kesan ini menjadi lebih bermakna apabila lokasi lawatan memiliki nilai budaya yang tinggi seperti Echizen yang terkenal dengan tradisi Echizen Washi, iaitu penghasilan kertas buatan tangan yang berusia lebih daripada 1,500 tahun, serta warisan seni bina besi dan kraf tangan yang diwarisi secara turun-temurun.
Dalam masa yang sama, Echizen berjaya mengimbangi pemeliharaan warisan dengan pembangunan industri moden sehingga muncul sebagai pusat pengilangan cermin mata berjenama bertaraf antarabangsa.

Melalui interaksi langsung dengan komuniti tempatan, pelajar Malaysia bukan sahaja mempelajari bahasa dan sejarah Jepun, malah menghayati nilai kerja keras, ketelitian dan semangat komuniti yang menjadi teras masyarakat setempat. Kesedaran inilah yang mendorong Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) Jepun untuk terus membuka institusi pendidikan tinggi kepada pelajar antarabangsa.
Menurut Japan Student Services Organization (JASSO), lebih daripada 336,000 orang pelajar antarabangsa menuntut di Jepun pada awal tahun 2024 dan kerajaan Jepun menyasarkan 400,000 orang pelajar antarabangsa menjelang tahun 2033.
Malaysia turut mengekalkan dasar menghantar pelajar ke Jepun, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Walaupun kos pelaksanaan program sedemikian adalah tinggi, pulangan jangka masa panjang dari segi pembentukan modal insan, jaringan antarabangsa dan pemindahan budaya kerja menjadikan pelaburan ini wajar diteruskan.
Pengalaman hidup di luar negara membentuk disiplin, pemikiran sistematik dan etika kerja yang produktif dalam kalangan pelajar. Sekembalinya ke tanah air, pengalaman ini menyumbang kepada peningkatan kecekapan, inovasi dan daya saing tenaga kerja tempatan.
Begitu juga pelajar Jepun yang mengikuti program pertukaran ke Malaysia yang memperoleh pendedahan kepada masyarakat majmuk, toleransi budaya dan realiti ekonomi negara membangun, satu pengalaman yang sukar diperoleh di tempat lain.
Inisiatif kerajaan tempatan Echizen yang menjadikan bandar ini sebagai platform pertukaran pelajar Malaysia–Jepun membuktikan bahawa pelaburan sosial berskala kecil mampu menghasilkan kesan ekonomi jangka masa panjang.
Walaupun lawatan hanya berlangsung selama tujuh hari, pengalaman yang diperoleh membentuk hubungan berpanjangan, membuka peluang kerjaya dan mengukuhkan jaringan dua hala.

Dalam jangka masa panjang, pelajar yang pernah tinggal dan belajar di Jepun lebih cenderung menjadi penghubung ekonomi, usahawan rentas negara atau tenaga profesional dalam syarikat multinasional Jepun–Malaysia. Hubungan ini turut membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan, pelaburan dan perdagangan dua hala.
Di pentas ekonomi global, kefahaman silang budaya merupakan asas kepada pembentukan kepercayaan dan kerjasama antarabangsa. Modal sosial yang terhasil daripada pengalaman hidup dan interaksi rentas budaya menjadi instrumen penting dalam menggerakkan perdagangan, pelaburan dan inovasi merentasi sempadan politik.
Lawatan tujuh hari ke Fukui bukan sekadar catatan pelancongan atau pengalaman sementara, sebaliknya mencerminkan usaha membina jambatan manusia dan budaya. Apabila pelajar Malaysia melangkah ke Echizen, mereka bukan sekadar menjejakkan kaki ke sebuah bandar di Jepun, tetapi memasuki ruang pembelajaran yang berupaya membentuk kerjaya, hubungan antarabangsa dan masa depan ekonomi negara.
Kesimpulannya, pertukaran dan lawatan pelajar bukan sekadar aktiviti akademik atau pengalaman peribadi, tetapi merupakan strategi ekonomi jangka masa panjang untuk membina masyarakat global yang saling memahami.
Melalui pengalaman hidup sebenar, kefahaman ini menjadi pemangkin kepada ekonomi yang lebih terbuka, kerjasama yang lebih kukuh dan pembangunan yang lebih seimbang antara kemajuan material dengan kesejahteraan manusia.
Dalam konteks ini, setiap pelajar yang melangkah ke luar negara membawa bersama harapan dan potensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia di persada dunia.
