Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) secara rasmi melancarkan program Jana MyPesara, satu inisiatif pembiayaan mikro bernilai RM20 juta bagi membantu pesara menjanakan pendapatan dan memperkukuh ketahanan kewangan sepanjang tempoh persaraan.
Majlis pelancaran yang berlangsung di ibu pejabat KWAP disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, YBhg. Datuk Nik Amlizan Mohamed, serta wakil rakan pelaksana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Menurut YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, program Jana MyPesara merupakan antara usaha kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk memperkukuh penyertaan ekonomi golongan akar umbi, khususnya dalam mendepani perubahan demografi negara yang semakin menua.
Beliau berkata, banyak pesara berdepan dengan kesukaran mendapatkan kemudahan kredit melalui saluran konvensional kerana ketiadaan pendapatan tetap walaupun masih mempunyai pengalaman dan potensi untuk terus aktif dalam bidang ekonomi.
Program ini menawarkan pembiayaan mikro yang fleksibel dan mesra pengguna kepada pesara yang layak dengan jumlah pembiayaan antara RM1,000 hingga RM30,000 bagi setiap individu tertakluk pada penilaian pelan perniagaan dan keperluan modal. Bagi fasa perintis, sebanyak 3,000 pesara sektor awam disasarkan untuk menyertai inisiatif ini.
Selain menyediakan akses kepada pembiayaan, Jana MyPesara turut merangkumi modul bimbingan, latihan keusahawanan, khidmat mentor dan sokongan berkala yang dilaksanakan melalui rangka kerja AIM yang mempunyai pengalaman luas dalam pembiayaan mikro di seluruh negara.
Pendekatan ini bertujuan memastikan peserta bukan sahaja menerima modal, malah dibimbing untuk mengurus perniagaan secara sistematik dan berdaya saing.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan bahawa inisiatif tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya merupakan strategi menyeluruh bagi memperluas jaringan keselamatan sosial yang lebih bersasar dan mampan untuk golongan pesara.
Beliau berharap program ini mampu memberikan impak bukan sahaja kepada peserta secara individu, malah kepada kesejahteraan keluarga dan komuniti melalui peningkatan pendapatan, serta penyertaan ekonomi yang berterusan.
Pelaksanaan Jana MyPesara juga dilihat sebagai langkah proaktif dalam menghadapi cabaran negara yang dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2048 apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas semakin meningkat.
Melalui pembiayaan dan sokongan yang tersusun, pesara diberi peluang untuk terus produktif dan tidak bergantung sepenuhnya pada pencen bulanan.
Sementara itu, YBhg. Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, inisiatif ini merupakan penghargaan terhadap sumbangan pesara kepada pembangunan negara, serta membuka ruang kepada mereka untuk terus menyumbang secara bermakna melalui perniagaan kecil dan aktiviti ekonomi lain.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan yang kukuh, latihan yang sesuai dan sokongan komuniti bagi memastikan kejayaan peserta sepanjang tempoh persaraan.
Secara keseluruhannya, program Jana MyPesara merupakan langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh daya tahan sosioekonomi pesara melalui akses pembiayaan yang mudah, peluang keusahawanan mikro dan bimbingan yang berterusan, sekali gus diharapkan mampu memberikan impak signifikan kepada ribuan pesara di seluruh negara.