Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – My Creative Ventures (MyCreative), sebuah syarikat pelaburan kerajaan yang memfokuskan pembangunan industri kreatif bakal membawa usahawan seni dan kreatif tempatan ke Indonesia dan Singapura bagi mempromosikan hasil karya mereka pada peringkat antarabangsa.
Inisiatif tersebut diumumkan Menteri Komunikasi, YBhg. Datuk Fahmi Fadzil sebagai langkah memperkukuh sokongan terhadap sektor kreatif yang dilihat berpotensi besar menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Menurut beliau, usahawan yang diperagakan melalui siri program Riuh akan dipilih menyertai misi promosi berkenaan, manakala tarikh perjalanan akan ditentukan oleh pihak MyCreative.
Beliau berkata, usaha tersebut bertujuan memberikan pendedahan lebih luas kepada bakat tempatan dan membuka peluang baharu bagi karya seni Malaysia menembusi pasaran Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Inisiatif itu juga diharap dapat menjadi platform kepada penggiat industri untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan pemain industri di luar negara.
“Usaha ini bukan sekadar mempamerkan hasil kreativiti, tetapi turut membuka ruang kolaborasi antara penggiat tempatan dengan rakan industri antarabangasa,” ujar beliau ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi.
Tambah beliau, kerajaan memberikan sokongan padu kepada MyCreative memandangkan industri kreatif kini muncul sebagai sektor dinamik yang mampu memperkukuh ekonomi kreatif negara.
Beliau turut merujuk kejayaan beberapa karya tempatan yang berjaya menembusi pasaran luar negara, termasuk filem Malaysia yang kini ditayangkan di Indonesia sebagai bukti potensi besar industri tersebut untuk berkembang pada peringkat global.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memasarkan produk kreatif ke luar negara memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memiliki kepakaran dalam industri perfileman dan kreatif.
Sokongan bersepadu ini diyakini dapat melahirkan lebih banyak pencipta tempatan yang mampu bersaing pada arena antarabangsa.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran dalam mengeksport produk kreatif tertentu, khususnya dalam sektor fesyen, dan makanan dan minuman (F&B) yang memerlukan pendekatan berbeza berbanding dengan karya seni visual.
Oleh itu, kerajaan akan terus menyediakan bantuan dan saluran yang bersesuaian bagi membantu usahawan kreatif menembusi pasaran serantau.
Sebagai entiti yang ditubuhkan untuk memperkasakan ekosistem kreatif negara, MyCreative diharap dapat memainkan peranan penting dalam melonjakkan karya tempatan ke tahap global melalui pelaksanaan program dan inisiatif strategik seperti ini.