Diterbitkan pada 10 Februari 2026, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan MADANI mengadakan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) bagi memastikan agenda transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) negara dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu mengeluarkan arahan jelas kepada semua kementerian dan agensi supaya mempercepat pelaksanaan keputusan dan inisiatif strategik yang dipersetujui sebelum ini.

Antara tumpuan utama mesyuarat termasuklah persiapan bagi pelancaran Malaysia Digital 2030 (MD2030) yang dijadualkan pada April 2026. Pelan strategik nasional itu akan menjadi pemacu utama bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berkemahiran tinggi dalam bidang AI menjelang tahun 2030.

Mesyuarat turut menekankan kepentingan meningkatkan kadar pendaftaran MyDigital ID, khususnya bagi aplikasi dan perkhidmatan kerajaan. Inisiatif ini penting bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan secara lebih selamat, pantas dan cekap.

Selain itu, kerajaan mewajibkan penggabungan sistem baharu dan penyepaduan sistem sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih bersepadu, mesra pengguna dan berfokuskan keperluan sebenar rakyat.

Antara perkara penting yang dibentangkan termasuklah Government Innovation Initiative (GII) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama Kementerian Digital. Inisiatif ini dijangka memberikan impak signifikan terhadap penambahbaikan sistem kesihatan negara melalui pemanfaatan teknologi digital secara menyeluruh.

Sementara itu, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) turut berkongsi perkembangan dan input berkaitan dengan pembangunan dasar AI negara yang memberikan penekanan kepada pembangunan bakat tempatan. Pendekatan ini merangkumi pelbagai sektor dan bertujuan memastikan peluang penyertaan yang inklusif kepada rakyat daripada semua peringkat umur dan latar belakang.

Keseluruhannya, langkah yang dipersetujui menerusi mesyuarat MED4IRN ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam arus revolusi digital dan AI pada peringkat global sambil memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh seluruh rakyat.

Kredit Foto: Facebook YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi