Diterbitkan pada 1 Februari 2026, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Zabariah Mohd Yusof sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Shariah (SAC) berkuat kuasa pada 1 Februari 2026 bagi tempoh dua tahun selaras dengan Seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

YBhg. Dato’ Zabariah yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan akan menyertai lapan ahli sedia ada, menjadikan keanggotaan SAC sebanyak sembilan orang yang terdiri daripada pakar dalam bidang syariah, kewangan Islam, perakaunan, audit dan undang-undang. Majlis tersebut dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ashraf Md Hashim, manakala YBhg. Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi.

SAC merupakan pihak berkuasa tertinggi dalam menentukan hukum syariah bagi urusan kewangan Islam di Malaysia, selain berperanan memberikan nasihat kepada BNM, serta menjadi rujukan institusi kewangan Islam dan mahkamah dalam kes berkaitan dengan kewangan Islam. Pelantikan YBhg. Dato’ Zabariah dijangka memperkukuh kepakaran majlis tersebut, khususnya dari aspek perundangan.

Antara ahli lain termasuklah Mufti Selangor, Sahibus Samahah YBhg. Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir; Penyelidik Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA), YBrs. Dr. Marjan Muhammad; Perunding Bebas Syariah, Encik Burhanuddin Lukman; Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB), YBrs. Dr. Ahmad Basri Ibrahim; Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam Universiti INCEIF, YBhg. Prof. Dr. Amir Shaharuddin; serta Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBrs. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi