Diterbitkan pada 3 Januari 2026, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada tahun 2025, sektor pendidikan tinggi negara mencatat perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pelajar dari China meningkat sebanyak 15 peratus pada suku pertama berbanding dengan tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut laporan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi yang disiarkan melalui Education Malaysia Global Services (EMGS), sebanyak 5,876 permohonan diterima daripada pelajar China untuk melanjutkan pengajian di Malaysia. Dengan angka ini, China kekal sebagai penyumbang terbesar pelajar antarabangsa, mengatasi Bangladesh yang mencatatkan 2,087 permohonan diikuti dengan Indonesia, Pakistan, serta beberapa negara Asia Selatan dan Asia Barat.

Peningkatan ini bukan sekadar menunjukkan reputasi Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa yang semakin menyerlah, tetapi turut mencerminkan perubahan struktur dalam landskap pendidikan tinggi serantau dan global. Dalam suasana dunia yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, termasuk dasar imigresen yang lebih ketat di negara Barat, Malaysia muncul sebagai destinasi yang stabil, kos berpatutan, serta berdaya saing dari segi kualiti akademik. Fenomena ini membuktikan bahawa pendidikan tinggi bukan sahaja aset sosial, tetapi juga pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan strategik dan hubungan antarabangsa yang lebih mampan.

Perkembangan ini turut dipacu oleh hubungan pendidikan Malaysia–China yang semakin erat. Lawatan rasmi Presiden China ke Malaysia pada April 2025 atas jemputan Yang di-Pertuan Agong menjadi titik penting dalam kerjasama dua hala. Beberapa inisiatif utama diumumkan, termasuk penubuhan Institut Penyelidikan Tinggi Antarabangsa China–Malaysia melalui kerjasama Universiti Xiamen dan Universiti Malaya, serta makmal penyelidikan bersama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan bahan baharu antara Peking University dengan Universiti Malaya. Kerjasama ini menandakan peralihan daripada model tradisional “menghantar dan menerima pelajar” kepada kerangka hubungan pendidikan yang lebih mendalam, berstrategi dan bersifat lestari.

Kepercayaan pelajar China terhadap Malaysia turut dipengaruhi oleh persekitaran pembelajaran dwibahasa, yuran pengajian yang kompetitif dan kualiti akademik yang diiktiraf. Laporan China Daily menyatakan bahawa sekitar 70 peratus graduan antarabangsa berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh tiga bulan selepas kembali ke negara asal, menggambarkan peningkatan keyakinan pasaran kerja terhadap lulusan luar negara termasuk dari Malaysia. Oleh itu, Malaysia semakin menonjol sebagai destinasi akademik pilihan bagi keluarga China yang mengutamakan kualiti pendidikan dengan pulangan berbaloi.

Dari sudut ekonomi, impaknya amat besar. Setiap pelajar antarabangsa dianggarkan membelanjakan antara RM45,000 hingga RM70,000 setahun untuk yuran pengajian, penginapan, makanan, pengangkutan dan perbelanjaan harian. Dengan jumlah 5,876 orang pelajar China pada suku pertama tahun 2025 sahaja, anggaran suntikan ekonomi mencecah RM264 juta hingga RM411 juta dalam tempoh tiga bulan. Jika trend ini kekal sehingga akhir tahun, sumbangan ekonomi dijangka melebihi RM1 bilion. Ekosistem perniagaan di sekitar universiti turut berkembang pesat melibatkan sektor pengangkutan, makanan, penginapan, digital dan runcit.

Kerjasama institusi pendidikan Malaysia dengan universiti luar negara juga menarik aliran pelaburan langsung asing (FDI) melalui kampus cawangan, program dwiijazah dan penyelidikan bersama, sekali gus menjadikan pendidikan tinggi sebagai satu daripada instrumen diplomasi dan pembangunan ekonomi negara.

Walaupun terdapat persepsi negatif tertentu di China yang melabelkan ijazah dari Malaysia sebagai “shuishuo” atau “sarjana air”, dakwaan ini tidak berasas. Penarafan global menunjukkan institusi Malaysia berada pada kedudukan kukuh. Universiti Malaya berada pada tangga ke-65 dunia dalam QS World University Rankings, manakala universiti swasta seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP), Taylor’s University dan UCSI University turut berada pada kedudukan global yang membanggakan. Program akademik Malaysia mengekalkan standard penilaian ketat, termasuk komponen penyelidikan dan latihan industri, sekali gus menepis naratif bahawa kualiti akademik negara rendah.

Dalam persaingan serantau, Malaysia menjadi pelengkap kepada Singapura yang kekal sebagai destinasi premium pendidikan dengan National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NTU) terus berada dalam kelompok 20 universiti terbaik dunia. Namun begitu, kos sara hidup yang tinggi dan dasar imigresen selektif di Singapura membuka ruang kepada Malaysia sebagai destinasi alternatif berkualiti bagi pelajar China.

Perkembangan global turut mencorakkan landskap mobiliti pelajar. Amerika Syarikat sebelum ini merupakan destinasi utama pelajar China kini mengetatkan dasar visa dengan lebih daripada 1,000 visa pelajar dibatalkan sejak Mac 2025 atas alasan keselamatan. Keadaan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pendidikan yang stabil, mesra serta mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan China.

Melihat potensi besar ini, Malaysia perlu merangka strategi jangka masa panjang yang melibatkan pemantapan dasar pendidikan antarabangsa, peningkatan kualiti akademik dan pengukuhan ekosistem penyelidikan berimpak tinggi. Peningkatan ini bukan sahaja berkaitan dengan pengiktirafan akreditasi institusi oleh badan kebangsaan seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau pengiktirafan kelayakan akademik oleh agensi luar negara seperti China Service Center for Scholarly Exchange, tetapi turut mencerminkan penyesuaian kurikulum, standard pengajaran, dan hasil pembelajaran yang sejajar dengan keperluan pasaran kerja global. Penekanan diberikan kepada kemahiran dalam bidang AI, ekonomi hijau, teknologi rantaian blok dan etika digital. Malaysia boleh mencontohi model negara seperti Jerman dan Belanda yang berjaya mengekalkan autonomi akademik yang tinggi sambil membina ekosistem inovasi berorientasikan pasaran global.

Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US) di Malaysia masing-masing memainkan peranan penting dalam menarik pelajar antarabangsa, khususnya dari China. Universiti Awam menawarkan program akademik yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa dengan struktur yuran yang lebih berpatutan, manakala universiti swasta pula lebih fleksibel dalam pelaksanaan program dwiijazah, kerjasama rentas negara dan pendekatan pengajaran berasaskan industri. Gabungan kekuatan kedua-dua sektor ini membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang pelbagai dan kompetitif, sekali gus menjadikan Malaysia destinasi yang menarik bagi pelajar antarabangsa.

Sistem visa pelajar menerusi EMGSjuga wajar diperhalusi agar lebih pantas, telus dan digital sepenuhnya. Institusi pendidikan tinggi perlu menyediakan pusat sehenti pelajar antarabangsa untuk menyelaras urusan visa, orientasi budaya dan kebajikan pelajar.

Selain itu, Malaysia perlu memperkenalkan laluan kerjaya pascapengajian yang lebih jelas dan kompetitif. Pengalaman negara seperti Australia dan Kanada membuktikan bahawa visa kerja graduan selama dua tahun hingga tiga tahun meningkatkan keupayaan negara menarik, serta mengekalkan bakat antarabangsa. Malaysia boleh mempertimbangkan dasar visa pascagraduan sekurang-kurangnya selama 12 bulan, khususnya bagi graduan berkemahiran dalam bidang strategik seperti data raya, bioteknologi, kejuruteraan termaju dan teknologi kewangan.

Kerjasama penyelidikan Malaysia–China pula wajar dikembangkan dalam bidang berimpak tinggi seperti AI, tenaga boleh baharu, keselamatan makanan, sains kesihatan dan teknologi digital. Hal ini memerlukan satu kerangka nasional penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama-sama merangkumi mekanisme pembiayaan dua hala, perlindungan hak harta intelek dan penyelarasan keutamaan penyelidikan pada peringkat negara.

Keseluruhan agenda ini perlu disepadukan dalam suatu dasar pendidikan antarabangsa negara yang holistik dan disokong oleh komitmen pelaburan jangka masa panjang. Lonjakan kemasukan pelajar China pada tahun 2025 bukan sekadar angka yang menguja. Hal ini menandakan kesediaan Malaysia untuk memposisikan dirinya sebagai hab pendidikan unggul serantau, sejajar aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025. Dalam era pascapandemik yang penuh ketidaktentuan, pendidikan tinggi menjadi komponen strategik dalam pembinaan ekonomi berasaskan pengetahuan, diplomasi dua hala dan hala tuju pembangunan masa hadapan negara.

Dr. Ku Boon Dar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Kredit Foto: evening_tao on Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi