Diterbitkan pada 7 Oktober 2025, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia kini berada di persimpangan sejarah. Di satu sisi, dunia pendidikan sedang melahirkan generasi pemikir dan pencipta nilai; di sisi lain, gerakan koperasi menghidupkan semangat kebersamaan ekonomi. Apabila dua arus ini bersatu, pendidik yang berfikir dan koperasi yang bertindak, maka terbentuklah satu kekuatan ekonomi rakyat yang bukan sekadar mengejar pertumbuhan, tetapi memperjuangkan kesejahteraan yang menyeluruh.

Dalam sistem tradisional, guru sering dilihat hanya sebagai penjaga ilmu. Namun begitu, dalam era digital dan automasi yang mengubah struktur ekonomi global, guru kini memainkan peranan lebih besar sebagai pencetak mata wang baharu, iaitu ilmu. Pendidik tidak lagi sekadar mengajar, tetapi mencipta nilai intelektual yang boleh dikomersialkan melalui inovasi, latihan dan platform digital.

Konsep pendidik sebagai usahawan guru (edupreneur) menuntut perubahan paradigma. Seorang guru yang menulis modul, menghasilkan video pembelajaran atau melatih komuniti sedang menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam kerangka Ekonomi MADANI, setiap inisiatif kecil ini ialah langkah ke arah pendemokrasian kemakmuran yang membuka ruang agar ilmu tidak hanya disimpan, tetapi disebar dan dijana kembali sebagai nilai.

Model Fikir Yakin Bahasa (FYB) menjadi bukti nyata bahawa ilmu boleh dijadikan sebagai modal insan dan juga modal ekonomi. FYB bukan sekadar satu program pembelajaran Bahasa Melayu, tetapi sebuah ekosistem yang menggabungkan pemikiran kreatif, pedagogi inovatif dan semangat keusahawanan. Di sinilah pendidik memperluas peranan mereka dan membuktikan bahawa ekonomi moden tidak hanya digerakkan oleh mesin dan teknologi, tetapi juga oleh makna dan nilai yang dicipta melalui pendidikan.

Jika FYB ialah benih ilmu, maka Koperasi Usahawan Pendidik Bahasa Berhad (KUPB) ialah tanah yang menyuburkannya. Di sinilah pendidikan dan ekonomi bertemu dalam bentuk yang paling praktikal. KUPB menghimpunkan pendidik profesional dari seluruh negara dalam satu ekosistem ekonomi kolektif. Perkara ini bukan sekadar menjual produk atau kursus, tetapi menjadi platform pembangunan diri, latihan dan pembinaan modal insan. Setiap ahli bukan sekadar peserta, tetapi pemilik satu sistem yang menzahirkan demokrasi ekonomi.

Kekuatan sebenar KUPB terletak pada jiwanya sebagai koperasi. Prinsip “satu ahli, satu undi” menjadikan setiap keputusan mewakili suara kolektif, bukan segelintir elit. Di sinilah nilai Ekonomi MADANI diterjemahkan secara konkrit: kekayaan dikongsi, keputusan didedikasikan dan kemakmuran diagihkan kembali ke akar komuniti.

Melalui koperasi ini, pendidik bukan sahaja mengubah diri menjadi usahawan, tetapi turut memperkukuh solidariti ekonomi sesama mereka. Hal ini menjadi cerminan bahawa ilmu dan ekonomi boleh bergabung tanpa kehilangan nilai.

Koperasi sebagai Wadah Ekonomi Rakyat

Gerakan koperasi di Malaysia bukanlah asing dalam sejarah. Sejak tahun 1922, koperasi menjadi cerminan keupayaan rakyat mengurus ekonomi mereka sendiri. Bermula daripada koperasi penjawat awam pramerdeka sehingga koperasi sekolah dan nelayan pascamerdeka, koperasi telah membuktikan bahawa rakyat mampu menjadi pemain ekonomi sebenar apabila diberi kepercayaan dan ruang.

Dalam era globalisasi hari ini, koperasi tidak lagi menjadi entiti tradisional yang statik. Koperasi sedang berevolusi menjadi organisasi moden yang menggabungkan nilai dan inovasi. Koperasi pertanian kini menggunakan aplikasi digital untuk memantau tuaian; koperasi pengguna melaksanakan transaksi tanpa tunai; dan koperasi pendidikan seperti KUPB pula melatih pendidik menjadi jurulatih profesional.

Lebih daripada itu, koperasi bukan bersifat antipasaran, tetapi pelengkap pasaran. Koperasi hadir bagi menutup jurang yang gagal diisi oleh sektor korporat dari kawasan pedalaman yang terpinggir sehingga perusahaan mikro yang tidak mendapat sokongan pembiayaan. Apabila koperasi berjaya, ekonomi menjadi lebih adil, lebih manusiawi.

Transformasi dan Masa Hadapan Gerakan Koperasi

Namun begitu, kemajuan gerakan koperasi bukan tanpa cabaran. Antara kekangan utama yang dikenal pasti termasuklah kelemahan tadbir urus, kekurangan modal, jurang kemahiran digital, serta reputasi yang tercemar akibat segelintir koperasi tidak aktif. Cabaran ini memerlukan perubahan struktur yang berasaskan empat tiang utama, iaitu pengukuhan institusi, pendigitalan operasi, pengkhususan sektor dan pembinaan modal insan.

Koperasi moden perlu menjadi organisasi pembelajaran yang sentiasa menambah baik proses dan kompetensi, mengadaptasi teknologi, serta mendukung prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Di sinilah koperasi bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi wadah perubahan sosial.

Bahasa, Ilmu dan Pembangunan Tamadun

Dalam naratif ekonomi rakyat, bahasa memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wahana ekonomi pengetahuan. Inisiatif seperti FYB memperlihatkan bahawa usaha memperkasakan bahasa kebangsaan boleh menghasilkan impak ekonomi yang signifikan, di samping memelihara warisan bangsa.

Sejarah Melayu membuktikan bahawa hubungan erat antara ilmu dengan bahasa dan perdagangan. Pelabuhan Melaka suatu ketika dahulu bukan sahaja pusat dagangan serantau, tetapi juga pusat ilmu dan diplomasi. Semangat ini harus dihidupkan semula melalui Ekonomi MADANI yang menjadikan ekonomi sebagai wadah keseimbangan antara keuntungan dengan maruah bangsa.

Gabungan antara pendidik dengan koperasi bukan suatu kebetulan, tetapi manifestasi keserasian antara ilmu dengan solidariti. Pendidik memberikan pencerahan, koperasi memberikan pelaksanaan. Seorang guru yang melatih masyarakat tentang keusahawanan sosial dan seorang anggota koperasi yang menyalurkan kredit mikro kepada ibu tunggal, kedua-duanya sedang membina ekosistem ekonomi insani.

Digitalisasi dan pematuhan kepada prinsip ESG menjadi dua tonggak penting dalam sinergi ini. Koperasi kini menggunakan data untuk memahami keperluan ahlinya, sementara pendidik menggunakan teknologi bagi memperluas akses ilmu. Kedua-duanya menggerakkan ekonomi yang lebih lestari bukan hanya dari segi alam sekitar, tetapi juga dari segi nilai dan empati.

Dunia kini sedang merombak semula erti kemakmuran. Jika suatu ketika dahulu kekayaan diukur pada jumlah emas atau harta fizikal, hari ini kekayaan diukur melalui keluasan ilmu, keadilan sosial dan daya cipta masyarakat.

Malaysia memerlukan ekonomi berjiwa, iaitu satu sistem yang tidak hanya mengejar pertumbuhan, tetapi juga mengangkat martabat manusia. Dalam ekosistem ini, pendidik ialah arkitek minda, manakala koperasi ialah jurutera sosial. Kedua-duanya berganding bahu membentuk dasar ekonomi rakyat yang berakar pada nilai dan berorientasikan kesejahteraan bersama.

Perjalanan daripada kapur ke kapital bukan semata-mata perubahan alat; bahkan mencerminkan transformasi mentaliti daripada penerima kepada pencipta. Pendidik mencipta ilmu, koperasi mengurus hasilnya dan rakyat menikmati kemakmurannya. Apabila ilmu dan koperasi bersatu dalam kerangka Ekonomi MADANI, maka ekonomi rakyat tidak lagi menjadi retorik semata-mata, tetapi realiti hidup yang membina masa hadapan bersama-sama.

“Kebangkitan ekonomi baharu bukan bermula di bursa saham, tetapi di bilik darjah dan di hati manusia yang percaya kepada nilai.” — Dr. Soo Kok Mun

Dr. Soo Kok Mun ialah Pengerusi Koperasi Usahawan Pendidik Bahasa Berhad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi