Diterbitkan pada 25 September 2025, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Khairul Amin bin Kamarulzaman merupakan seorang figura yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Dilahirkan pada 25 September 1992, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat.

Walaupun mempunyai latar belakang dalam bidang teknikal, Khairul Aming memilih untuk mengikut minatnya dalam dunia media sosial, khususnya dalam bidang masakan. Beliau kini terkenal sebagai seorang pempengaruh media sosial yang memaparkan kandungan berkaitan dengan resipi makanan yang kreatif, mudah diikuti dan menarik perhatian.

30 Hari, 30 Resepi

Nama Khairul Aming mula mendapat perhatian menerusi projek ikonik “30 Hari, 30 Resepi” pada tahun 2018 yang diterbitkan setiap tahun sepanjang bulan Ramadan. Dalam siri ini, beliau berkongsi pelbagai jenis resipi untuk hidangan sahur, berbuka dan moreh dengan penggunaan bahan-bahan mudah dan kaedah penyediaan ringkas. Kandungan beliau mendapat sambutan luar biasa kerana gaya penyampaian yang santai dan bersahaja, namun padat dengan informasi berguna.

Platform seperti TikTok dan YouTube menjadi medium utama beliau dan pada tahun 2023, Khairul Aming telah dinobatkan sebagai Pencipta Kandungan Tahun Ini dalam Anugerah TikTok Malaysia.

Sambal Nyet: Dari Dapur ke Empayar Niaga

Selain sebagai pencipta kandungan, Khairul Aming turut mencipta kejayaan besar dalam dunia perniagaan. Pada tahun 2021, beliau melancarkan produk Sambal Nyet Berapi yang kini menjadi antara produk sambal tempatan paling popular di Malaysia. Dalam tempoh hanya tiga bulan, beliau berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM1 juta dan setahun selepas itu, jualan meningkat kepada RM14 juta.

Keunikan Sambal Nyet terletak pada kriteria seperti yang berikut:

  • Kualiti premium: Dihasilkan dengan penuh teliti tanpa bahan pengawet.
  • Rasa autentik dan pedas berlapis: Menggunakan resipi tradisional dengan keseimbangan rasa yang memuaskan.
  • Pembungkusan menarik: Menggunakan balang kaca dengan penjenamaan eksklusif.
  • Fenomena media sosial: Sering tular di TikTok dan Instagram dengan sambutan yang luar biasa setiap kali stok dibuka.

Produk ini bukan sahaja memperkukuh reputasi beliau sebagai usahawan muda berjaya, tetapi turut menjadi simbol kebangkitan jenama tempatan dalam era digital.

Jelajah New Zealand

Pada awal tahun 2024, Khairul Aming menerbitkan siri video masakan unik yang dirakam di New Zealand bersama-sama dengan rakannya. Beliau menghasilkan sembilan video resipi berlatarkan pemandangan indah negara tersebut. Antara hidangan yang ditonjolkan termasuk nasi lemak, laksa dan roti jala yang dipersembahkan secara kreatif di lokasi seperti gunung dan padang rumput.

Projek ini mendapat perhatian sehingga Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang mengunjungi Malaysia dan bertemu beliau di restoran Hidang Kuala Lumpur. Mereka bersama-sama memasak dan menikmati makanan tradisional Malaysia. Perdana Menteri Luxon memuji usaha Khairul Aming dalam mempromosikan budaya Malaysia pada peringkat antarabangsa dan menyifatkannya sebagai contoh terbaik cara individu boleh memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara negara.

Misi Bantuan Kemanusiaan

Pada hujung tahun 2024, Malaysia dilanda banjir besar yang menjejaskan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak. Berbekalkan pengalaman peribadi mengharungi banjir di kampung halamannya di Kelantan, beliau melancarkan misi bantuan dengan menyumbang makanan dan barangan keperluan asas. Bermula dari sebuah warung nasi berlauk, misi ini berkembang dengan pantas apabila  tular di media sosial. Situasi ini menyebabkan banyak pengikut turut serta menyumbang melalui inisiatif ini.

Pada 2 Disember 2024, beliau menubuhkan pasukan sukarelawan yang dikenali sebagai Bantuan Orang Baik (BOB) yang mengumpulkan lebih daripada 600 sukarelawan. Operasi bantuan dijalankan secara sistematik dengan penggunaan lori, bot dan pelbagai kenderaan bagi menghantar barang bantuan terus ke kawasan terjejas. Antara bantuan yang disalurkan termasuklah produk sendiri seperti Daging Dendeng, serta barangan asas seperti beras, mi segera, susu, biskut, lampin bayi, sabun, ubat gigi dan sebagainya

Pada 8 Ogos 2025, beliau telah melancarkan produk yang ketiga, iaitu Rendang Nyet Berapi. Rendang Nyet Berapi berjaya dijual dalam masa 30 saat untuk 70,000 pek pertama dan kemudian dalam masa 48 saat untuk 30,000 pek kedua dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah RM1.8 juta bagi 100,000 pek produknya.

Khairul Aming bukan sekadar pencipta kandungan atau ahli perniagaan berjaya. Beliau ialah lambang ikon moden yang memanfaatkan sepenuhnya kekuatan platform digital untuk menyebarkan nilai positif, menyemai rasa empati dan membina jenama yang berakar pada budaya tempatan.

Melalui platform seperti Shopee, Instagram, dan TikTok, beliau bukan sahaja memasarkan produk tetapi juga memperjuangkan identiti Malaysia kepada dunia. Beliau kekal rendah diri, menjauhi kontroversi dan memelihara integriti dalam setiap usaha yang dilakukan.

Kisah Khairul Aming membuktikan bahawa kejayaan sejati bukan hanya diukur dari segi kekayaan atau populariti, tetapi juga keupayaan seseorang memberikan impak positif kepada masyarakat.

Semangat beliau dalam berkongsi ilmu, membina empayar perniagaan dan membantu mereka yang memerlukan menjadikannya ikon generasi masa kini. Naratifnya menjadi bukti bahawa dengan usaha jujur, semangat tinggi dan nilai kemanusiaan yang kukuh, seseorang mampu mengubah dunia. Oleh itu, beliau sememangnya layak dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Maulidul Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Kredit Foto: Media Sosial Khairul Aming
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi