Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam trajektori sejarah Islam, terdapat banyak tokoh sarjana yang membincangkan isu berkaitan dengan ekonomi dalam kerangka sosiologi dan antara yang paling menonjol termasuklah Ibn Khaldun. Melalui karya agungnya al-Muqaddimah, tokoh bernama penuh Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Khaldun (1332–1406) yang berasal dari Tunisia telah meletakkan asas kepada pelbagai bidang ilmu, khususnya yang berkaitan dengan ketamadunan (al-‘umrān). Asas ini kemudiannya berkembang menjadi satu disiplin sosiologi-ekonomi yang lebih tersusun dan sistematik.
Pengetahuan mengenai ketamadunan merupakan aspek penting bagi pembentukan pemikiran ekonomi dan sosial sebagaimana yang dihuraikan oleh Kabuye Uthman Sulaiman dalam artikelnya bertajuk Civilization: History, Description, Common Characteristics and Importance. Melalui pemahaman tentang ketamadunan, beberapa manfaat utama boleh diperoleh antaranya termasuklah:
Pemahaman terhadap Budaya dan Warisan Silam
Tamadun purba menjadi sumber inspirasi kepada pelbagai aspek masyarakat moden termasuk seni bina, politik, kesusasteraan dan falsafah. Masyarakat yang mempelajari kaitan antara geografi dengan sejarah membantu mereka mengenali identiti budaya sendiri.
Pembinaan Jati Diri
Dengan memahami asal usul dan latar belakang keturunan, masyarakat bukan sahaja menghargai warisan leluhur, malah dapat merumuskan makna sebenar kemajuan dan peradaban.
Pengiktirafan terhadap Budaya Lain
Pengetahuan mengenai budaya dan adat resam pelbagai bangsa memupuk persefahaman dan toleransi dalam masyarakat majmuk, sekali gus membuka ruang kepada dialog lintas budaya yang lebih matang.
Perkaitan antara Kemajuan Ekonomi dengan Teknologi
Ketamadunan sering dikaitkan dengan struktur ekonomi dan teknologi. Hal ini menjelaskan evolusi pekerjaan tradisional dan perubahan akibat transformasi teknologi.
Asas kepada Pelbagai Disiplin Ilmu
Pengetahuan tentang ketamadunan meliputi sejarah, geografi, seni, sastera dan ekologi yang menjadi asas penting kepada pembangunan peradaban manusia secara menyeluruh.
Bagi Ibn Khaldun, konsep ketamadunan bukan sahaja signifikan pada skala makro seperti pembangunan peradaban dan sosiologi, tetapi juga pada skala mikro, terutamanya dalam aspek ekonomi seperti pengeluaran, bekalan, kos, permintaan dan utiliti. Pandangan ini meletakkan asas kepada pelbagai teori ekonomi moden. Meskipun gelaran “Bapa Ekonomi Moden” lazimnya diberikan kepada Adam Smith, hakikatnya Ibn Khaldun telah mengemukakan gagasan ekonomi hampir 400 tahun lebih awal.
Adam Smith (1723–1790), tokoh terkenal dari Universiti Glasgow sangat dipengaruhi oleh falsafah moral Francis Hutcheson dan pemikiran Anthony Ashley Cooper (3rd Earl of Shaftesbury) yang memperkenalkan idea utilitarianisme awal. Namun demikian, seperti yang dikemukakan oleh Ibrahim M. Oweiss dalam makalahnya Ibn Khaldun: Father of Economics, banyak idea Smith mungkin terilham daripada Ibn Khaldun sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Menurut Oweiss, ketika Smith menjalankan kajian di perpustakaan Universiti Oxford selama enam tahun, beliau mungkin telah membaca karya Ibn Khaldun tanpa mengetahui pengarangnya. Hal ini tidak mustahil memandangkan terdapat segelintir ahli falsafah Barat yang secara halus berusaha mengaburkan sumbangan sarjana Muslim selepas Perang Salib.
Selain itu, pengaruh Ibn Khaldun mungkin sampai kepada Smith melalui François Quesnay, pengasas mazhab fisiokrat Perancis yang menekankan nilai tanah dan pertanian dalam penilaian kekayaan negara. Quesnay sendiri berkemungkinan besar menerima pengaruh daripada pemikiran Ibn Khaldun dalam pelbagai disiplin.
Tambahan pula, selepas perluasan kuasa Empayar Uthmaniyyah pada abad ke-14 dan ke-15, terbentuk jambatan intelektual antara dunia Islam dan Eropah . Karya Ibn Khaldun termasuk al-Muqaddimah yang disiapkan di Kaherah telah tersebar luas dan sampai ke Constantinople (kini Istanbul) sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Turki sekitar tahun 1730, iaitu 46 tahun sebelum penerbitan The Wealth of Nations.
Pemikiran ekonomi Ibn Khaldun dan Adam Smith sama-sama berasaskan pandangan bahawa manusia merupakan elemen teras dalam kehidupan ekonomi. Kedua-dua tokoh ini melihat ekonomi bukan semata-mata sebagai analisis angka dan pasaran, tetapi sebagai cerminan psikologi sosial manusia yang merangkumi aspek moral, institusi dan undang-undang.
Menurut Eamonn Butler dalam The Condensed Wealth of Nations and The Incredibly Condensed Theory of Moral Sentiments, Smith menekankan simpati semula jadi manusia, iaitu suatu kekuatan moral yang menggalakkan persaingan sihat dan kebebasan ekonomi. Pandangan ini hampir sejajar dengan Ibn Khaldun yang melihat hubungan antara manusia, masyarakat dan negara sebagai saling melengkapi bagi mewujudkan keseimbangan alam dan pembangunan sosial.
Dalam pemikiran Ibn Khaldun, keseimbangan antara manusia dengan masyarakat dan negara perlu dicapai untuk menjamin kemajuan. Tanpa manusia, masyarakat dan negara tidak akan wujud. Sebagai makhluk sosial, manusia bertanggungjawab memelihara keseimbangan alam dan mentadbir bumi sebagai khalifah seperti yang disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 30.
Sajad Ahmad dan Mohd Shafiq Sahimi (2022) dalam makalah Ibn Khaldun’s Views on Man, Society and State menekankan bahawa orientasi sosial manusia menurut Ibn Khaldun bukanlah untuk mengembangkan kapitalisme, tetapi untuk menunaikan amanah bagi menjaga kelestarian kehidupan. Dalam proses pembentukan masyarakat, budaya berperanan sebagai alat kawal selia sosial yang membentuk asas kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
Pemikiran ekonomi Ibn Khaldun jauh mendahului zamannya. Beliau bukan sahaja memperkenalkan asas penting dalam teori ekonomi, malah mengaitkannya secara mendalam dengan aspek sosial, budaya dan moral yang membentuk struktur ketamadunan. Meskipun Adam Smith sering dianggap sebagai pelopor ekonomi moden, pengaruh tidak langsung daripada Ibn Khaldun tidak dapat diketepikan. Dalam konteks ini, Ibn Khaldun sepatutnya diiktiraf sebagai satu daripada seorang perintis utama dalam sejarah pemikiran ekonomi dunia.