Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama pertanian menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang menyediakan kerangka kerjasama menyeluruh dalam pelbagai bidang strategik antara kedua-dua negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu bersama-sama Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, TYT Suriya Jungrungreangkit menandatangani MoU antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Thailand mengenai kerjasama pertanian.
Pemeteraian MoU tersebut berlangsung sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand, TYT Anutin Charnvirakul ke Malaysia. YB Datuk Seri Haji Mohamad turut menyertai delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat dua hala bersama-sama TYT Anutin Charnvirakul.
MoU itu menyediakan kerangka kerjasama yang menyeluruh dalam pelbagai bidang strategik, termasuk sektor tanaman, ternakan, perikanan, permudahan perdagangan dan pemasaran produk pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan kapasiti, biosekuriti, serta langkah sanitari dan fitosanitari (SPS).
Kerjasama berkenaan turut merangkumi bidang lain yang dipersetujui bersama dan dijangka memperkukuh mekanisme komunikasi, serta penyelarasan antara pihak berkuasa berkaitan dengannya di kedua-dua negara secara lebih tersusun, terbuka dan berterusan.
Melalui kerangka kerjasama itu, isu berkaitan dengan sektor pertanian dan agromakanan juga dapat ditangani dengan lebih pantas, berkesan dan proaktif, sekali gus memperkukuh hubungan strategik Malaysia dan Thailand dalam sektor berkenaan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut mengadakan mesyuarat dua hala yang memfokuskan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan, pertanian dan keterjaminan makanan, selain membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Hubungan perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dengan Thailand terus berkembang apabila nilai perdagangan mencecah RM20.33 bilion bagi tempoh Januari 2025 hingga Disember 2025.
Eksport utama Malaysia ke Thailand merangkumi kopi, koko, teh, rempah-ratus, serta produk makanan diproses, manakala import utama dari Thailand termasuk daging dan produk berasaskan daging.