Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia menghadapi cabaran masyarakat menua menjelang tahun 2040 menerusi pendekatan yang menyeluruh, mampan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir berkata, peralihan demografi negara perlu ditangani secara terancang melalui pengukuhan dasar, sistem sokongan sosial, perkhidmatan kesihatan, peluang ekonomi, serta persekitaran yang inklusif.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan warga emas dapat terus menjalani kehidupan yang bermaruah, produktif dan sejahtera seiring dengan perubahan struktur penduduk negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Merbok di Dewan Rakyat berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena masyarakat menua menjelang tahun 2040.
Dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan negara, Agenda Negara Menua dan pembangunan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) menjadi antara hala tuju strategik jangka masa panjang kerajaan dalam menangani perubahan demografi tersebut.
Kementerian Ekonomi kini sedang menyediakan Kertas Putih NAB yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang bagi menggariskan kerangka dan tindakan strategik negara dalam menghadapi cabaran masyarakat menua.
Antara keutamaan kerajaan termasuklah memperkukuh penjagaan jangka masa panjang berasaskan komuniti, membangunkan ekonomi penjagaan, meningkatkan latihan penjaga profesional dan memperluas perlindungan sosial.
Selain itu, kerajaan turut memberikan perhatian terhadap usaha meningkatkan kecukupan pendapatan persaraan, serta menyediakan persekitaran yang membolehkan warga emas kekal aktif, sihat dan produktif.
Melalui tadbir urus yang jelas dan pemantauan secara berkala, kerajaan komited membina sebuah negara yang membolehkan setiap rakyat menua secara bermaruah dalam masyarakat yang inklusif dan mampan.