Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian dan agromakanan dengan Thailand menerusi mesyuarat dua hala antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dengan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, TYT Suriya Jungrungreangkit.

Mesyuarat itu membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan perdagangan, biosekuriti, akses pasaran dan kerjasama teknikal bagi meningkatkan hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia membangkitkan beberapa isu perdagangan yang melibatkan sektor agromakanan, termasuk sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand, pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia dan permohonan akses pasaran bagi produk ternakan Malaysia ke Thailand yang masih tertangguh sejak tahun 2024.
Malaysia turut menjelaskan rasional sekatan sementara terhadap import lima jenis udang dari Thailand berdasarkan penilaian teknikal dan maklumat risiko bagi memastikan tahap biosekuriti dan keselamatan makanan negara terus terpelihara.
Malaysia memaklumkan bahawa langkah sekatan sementara itu akan terus berkuat kuasa sehingga proses penilaian lanjut diselesaikan, termasuk kemungkinan pelaksanaan penilaian di lapangan, perbincangan teknikal berkaitan dengan keperluan import dan pengaturan pensijilan kesihatan. Kedua-dua negara bagaimanapun bersetuju untuk meneruskan rundingan bagi mencari penyelesaian yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Pada masa sama, Malaysia turut memohon kerjasama Thailand bagi memudahkan perdagangan produk pertanian melalui ASEAN Rapid Transit System, iaitu laluan kereta api yang menghubungkan Malaysia dengan Thailand, Lao PDR dan China.
Malaysia turut meminta supaya proses pengeluaran permit khas oleh Jabatan Pertanian (DOA) Thailand dipermudah bagi meningkatkan kebolehpasaran produk pertanian Malaysia ke pasaran China, termasuk durian.
Malaysia turut menegaskan kepentingan mengekalkan komunikasi yang terbuka, telus dan pantas antara pihak berkuasa kedua-dua negara bagi memastikan hubungan dua hala terus diperkukuh.
Kedua-dua negara juga bersetuju memperluas kerjasama teknikal dan perdagangan dalam sektor pertanian dan agromakanan demi manfaat bersama dan pengukuhan hubungan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Hubungan perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dengan Thailand terus menunjukkan perkembangan positif apabila nilai perdagangan bagi tempoh Januari 2025 hingga Disember 2025 mencecah RM20.33 bilion. Eksport utama Malaysia ke Thailand merangkumi kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk makanan diproses, manakala import utama dari Thailand terdiri daripada daging dan produk berasaskan daging.
Dalam pertemuan itu juga, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyampaikan jemputan rasmi kepada kerajaan Thailand untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disertai oleh Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak bersama-sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob; Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan Hussain; Setiausaha Bahagian Asia Tenggara Kementerian Luar Negeri, Puan Suzilah Mohd Sidek, serta pegawai kanan kementerian.