Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRome – Malaysia terus memperkukuh peranannya pada peringkat antarabangsa melalui pelibatan aktif dalam Sesi Ke-181 Majlis Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang berlangsung di Ibu Pejabat FAO di Itali dalam memajukan agenda agromakanan global yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Sebagai Ahli Majlis FAO, Malaysia turut disertai pegawai dari Pejabat Penasihat Pertanian di Rome sepanjang sesi yang berlangsung dari 8 Jun hingga 12 Jun 2026.
Mesyuarat berkenaan membincangkan 17 agenda utama yang merangkumi perkara programatik, laporan persidangan serantau, laporan jawatankuasa Majlis FAO, serta isu berkaitan dengan institusi dan tadbir urus organisasi tersebut.
Pada sesi berkenaan, beberapa kenyataan negara telah disampaikan bagi mengetengahkan pandangan dan pendirian Malaysia mengenai pelbagai isu berkaitan dengan sektor agromakanan global. Antaranya termasuklah pada 10 Jun 2026, Kaunselor Pertanian di Pejabat Penasihat Pertanian Rome, Puan Emelia Tay telah menyampaikan kenyataan negara berhubung dengan Laporan Jawatankuasa Program FAO Sesi Ke-142.
Dalam kenyataannya, Malaysia menekankan kepentingan memperkukuh Program Kerjasama Teknikal (TCP) bagi memastikan keperluan negara anggota terus diberikan keutamaan. Pendekatan tersebut dilihat selaras dengan perancangan strategik FAO menerusi Medium Term Plan (Disemak) 2026–2029 dan Programme of Work and Budget 2028–2029.
Malaysia turut mengulangi komitmennya untuk memajukan agenda bioekonomi yang inklusif dan mampan dengan memberikan penekanan kepada aspek keselamatan makanan, kelestarian sumber dan perkongsian manfaat yang adil.
Selain itu, negara turut menggesa pengukuhan Kerjasama Selatan-Selatan dan Kerjasama Tiga Segi sebagai pemangkin kepada transformasi sistem agromakanan global yang lebih berkesan.
Pada 11 Jun 2026, Setiausaha Pertama (Pertanian) di Pejabat Penasihat Pertanian Rome, Encik Anwar Faiz telah menyampaikan kenyataan bagi pihak Kumpulan Serantau Asia dan Malaysia berhubung dengan agenda reformasi FAO.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan terhadap usaha reformasi yang diterajui negara anggota secara inklusif dan pragmatik bagi meningkatkan keberkesanan organisasi tersebut.
Malaysia turut menggariskan keperluan untuk memperkukuh Program Kerjasama Teknikal sebagai pemangkin pembangunan negara membangun, selain menekankan kepentingan meningkatkan ketelusan tadbir urus, memperluas pendigitalan, memperkukuh desentralisasi, serta meningkatkan kecekapan pengurusan organisasi.
Pelibatan aktif Malaysia dalam Sesi Ke-181 Majlis FAO mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyumbang kepada pembentukan dasar agromakanan global yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan, di samping memperkukuh usaha menjamin keterjaminan makanan untuk masyarakat dunia.