Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Brazil ke Malaysia, PYT Daniella Ortega de Paiva Menezes bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Brazil.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), rekod perdagangan pertanian antara kedua-dua negara hingga Disember 2025 mencatatkan nilai RM6.53 bilion yang merangkumi eksport produk makanan diproses dan pelbagai produk makanan lain, manakala import utama dari Brazil terdiri daripada gula, produk berasaskan gula dan madu.
Perbincangan tersebut turut memberikan tumpuan kepada kerjasama teknikal antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan Brazilian Agricultural Research Corporation (EMBRAPA) yang telah menandatangani surat hasrat (LOI) dan sedang menuju ke arah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan melibatkan tanaman jagung, kelapa, soya dan betari.
Kerjasama itu juga melibatkan pertukaran kepakaran teknikal antara kedua-dua institusi penyelidikan bagi memperkukuh pembangunan teknologi pertanian dan inovasi makanan.
Selain itu, Malaysia dan Brazil turut membincangkan potensi eksport buah-buahan dari Brazil ke Malaysia, khususnya epal dengan protokol eksport buah berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum kerjasama perdagangan diperluas kepada buah-buahan lain seperti tembikai kuning.
Kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama dalam pembangunan sektor perikanan dan akuakultur menerusi program pemindahan teknologi dan latihan kepakaran oleh Brazilian Cooperation Agency bersama-sama Jabatan Perikanan Malaysia, khususnya berkaitan dengan Sistem Akuakultur Bersepadu Multi-Trofik.
KPKM menyambut baik inisiatif tersebut sebagai langkah memperkukuh pembangunan industri akuakultur negara yang lebih mampan, berdaya saing dan berteknologi tinggi.
Dalam pertemuan itu juga, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyambut baik pengesahan penyertaan Brazil dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.