Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Ekonomi menerusi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat–Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) bagi memperkasakan ekonomi golongan asnaf dan usahawan kecil di Wilayah Persekutuan.
Majlis perasmian program yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan bersama-sama Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir.
Program ini dilihat sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan ekonomi rakyat melalui pendekatan menyeluruh kerajaan.
Melalui kerjasama ini, Kementerian Ekonomi menyediakan mesin layan diri makanan dan subsidi sewa penuh selama 24 bulan, manakala MAIWP menyediakan bantuan modal permulaan kepada peserta usahawan asnaf yang layak tertakluk pada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Inisiatif ini bertujuan membantu peserta menjana pendapatan secara mampan dan berterusan.
Menurut YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, sinergi antara MAIWP dengan Kementerian Ekonomi membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan rakyat secara menyeluruh. Hal ini bukan sekadar dengan menyalurkan bantuan zakat secara rutin, tetapi melahirkan lebih banyak usahawan asnaf yang mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
YB Tuan Haji Akmal Nasrullah berkata, sebahagian peserta program telah berjaya mencatat jualan antara RM4,000 hingga RM10,000 sebulan melalui penempatan mesin layan diri di lokasi strategik seperti stesen transit laju massa (MRT), pusat transformasi bandar (UTC) dan premis tumpuan awam. Kejayaan ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan IPR-INSAN sebagai platform penjanaan pendapatan yang berimpak tinggi.
Sehingga 5 Mei 2026, sebanyak 1,125 unit mesin layan diri telah dipasang di seluruh negara dengan 712 peserta aktif mencatatkan hasil jualan kumulatif melebihi RM2,000 sejak mula beroperasi. Setakat Mac 2026, program ini turut merekodkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM20.46 juta.
Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan bahawa IPR-INSAN bukan sekadar program bantuan, sebaliknya menjadi peluang kepada rakyat untuk berniaga, membina pendapatan sendiri dan keluar daripada kemiskinan dengan lebih bermaruah.
Kerjasama dengan MAIWP juga akan membantu pelaksanaan program ini diperluas dengan lebih berkesan. Kementerian Ekonomi akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi meneruskan program IPR-INSAN selama 24 bulan lagi supaya manfaatnya dapat diperluas kepada lebih banyak rakyat dalam kategori B40, khususnya di kawasan bandar.
Pada masa yang sama, Masjid Wilayah Persekutuan turut dijadikan lokasi baharu penempatan mesin layan diri sebagai usaha memperkukuh fungsi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai Hab Ekonomi Ummah yang mampu menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Sehingga 15 Mei 2026, MAIWP telah mengagihkan RM449,839,081 dana zakat menerusi 38 skim bantuan yang merangkumi bantuan langsung, program pembangunan asnaf dan sokongan kepada institusi pendidikan milik MAIWP.
MAIWP berharap inisiatif ini akan melahirkan lebih banyak usahawan berjaya dalam kalangan asnaf sehingga mereka mampu menjadi penyumbang zakat pada masa hadapan.