Oleh Rasoul Manan
26 Ogos 2023, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Chuping – “Strategi kepelbagaian perniagaan oleh pihak FGV Holdings Berhad di kawasan FGV Chuping Agro Valley (CAV) Perlis mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.”

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Tautan Kasih FGV Holdings Berhad dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di pekarangan Kompleks FGV Chuping Agro Valley (CAV), baru-baru ini.

Baginda berharap agar tanah FGV Holdings Berhad seluas 3400 hektar yang dirancang untuk menyokong Dasar Sekuriti Makanan Negara, iaitu tanaman jagung bijian dapat disegerakan.

Malahan, baginda juga berharap agar 200 hektar lagi tanah untuk ladang tenusu juga direalisasikan dengan segera kerana projek ini sudah tentu dapat memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Tautan Kasih FGV Holdings Berhad dengan MAIPs yang berlangsung di pekarangan Kompleks FGV Chuping Agro Valley (CAV), baru-baru ini.

Pada masa yang sama, baginda turut menzahirkan hasrat agar pembangunan di CAV diselaraskan dengan baik kerana tempat tersebut mengandungi komponen pertanian yang bermutu tinggi.

Selain itu, menurut baginda, pembangunan industri pertanian yang lain juga harus digerakkan supaya kawasan FGV yang luas di Chuping dapat diaktifkan sekali gus dapat memberikan persepsi positif kepada rakyat dan pelabur. Titah baginda;

Segala perancangan FGV di negeri Perlis ini dapat dilaksanakan dengan baik.

Oleh itu,  kerjasama yang penuh akan diberikan oleh Kerajaan Negeri khususnya Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis dan badan-badan berautoriti yang lain.

Untuk rekod, FGV merupakan sebuah syarikat yang memperjuangkan agenda makanan dan produk agro yang lestari serta merupakan antara pengeluar Minyak Sawit Mentah (MSM) terbesar dunia.

Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV menyerahkan sumbangan kepada pihak MAIPS dalam majlis tersebut.

Sebanyak 70% daripada Buah Tandan Segar (BTS) telah diperoleh daripada peneroka FELDA dan pekebun kecil. Faktor ini menjadikan FGV sebuah syarikat yang mengutamakan tanggungjawab sosial dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor serta Pengurusan Kanan FGV. Turut hadir menjayakan majlis tersebut ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Majlis ini dianjurkan untuk menyalurkan dana zakat perniagaan bernilai RM200 000 oleh Kumpulan FGV kepada pihak MAIPs dan beberapa bantuan lain.

Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor menyerahkan sumbangan kepada asnaf yang terpilih.

Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor turut menyampaikan sumbangan berupa van jenazah kepada Felda Mata Ayer, Perladangan Kontrak (Contract Farming) kepada tiga orang penerima dan sumbangan kepada 27 orang asnaf terpilih dalam kariah tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.