Oleh Mubarak Ismail
3 Januari 2023, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli mengunjungi Malaysia Design Development Centre (DDEC) yang beroperasi di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur pada petang 1 Januari 2023.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) melawat ke DDEC.

Ketibaan baginda ke DDEC yang merupakan sebuah pusat sehenti reka bentuk pilihan usahawan Malaysia di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ditubuhkan pada tahun 2007 itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif DDEC, Aizuddin Mohd.

Turut hadir bersama-sama mengiringi baginda berkunjung di DDEC bersempena program Kayuhan Diraja anjuran MARA di sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang melibatkan 50 orang peserta dengan jarak 15 kilometer ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Antara lokasi lain di sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang turut dikunjungi oleh baginda pada sepanjang program Kayuhan Diraja yang bermula di pekarangan Ibu Pejabat Bangunan MARA dan berakhir di Hotel Primiera, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur termasuklah Pintasan Saloma.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama para peserta program Kayuhan Diraja di Pintasan Saloma.

Bagi menyahut keperluan usahawan Malaysia, DDEC menawarkan pelbagai perkhidmatan pembangunan usahawan merangkumi pelbagai aspek latihan dan asas penjenamaan, program kolaborasi serta manfaat reka bentuk menerusi dana usahawan.

Di samping itu, DDEC telah membantu lebih 36 000 usahawan Malaysia dalam memperkasakan imej syarikat serta produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi pelbagai solusi kreatif hingga kini.

Dengan 14 tahun pengalaman dalam industri serta mempunyai barisan pereka yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, DDEC juga menawarkan pengalaman reka bentuk yang dinamik, inovatif dan lestari untuk para pelanggannya menerusi solusi kreatif yang lengkap meliputi pelbagai sektor di samping menjadi pusat sehenti reka bentuk terpilih dalam kalangan usahawan Malaysia untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menyatakan harapannya agar lebih banyak usahawan dari negeri Perlis yang layak akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh DDEC untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan masing-masing ke tahap yang lebih tinggi dan menguntungkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.