Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) 2023 telah mencapai sebanyak 1247 usahawan luar bandar yang menyertainya sekali gus mengatasi sasaran awal 1000 usahawan untuk meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan perniagaan.
Inisiatif PPU melalui platform Desamall ini merupakan strategi bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB), iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata sasaran awal pada tahun ini adalah untuk melatih 1000 usahawan, namun ianya telah mencapai lebih 1200 usahawan sehingga siri PPU Siri 4/2023.
“Selepas ini dua lagi program akan dilaksanakan di Johor Bahru, Johor dan Alor Setar, Kedah dan jumlah tersebut dijangka mencapai sehingga 1953 usahawan,” katanya selepas merasmikan PPU Siri 4/2023 di sini pada Isnin.
Menurutnya lagi, menerusi program ini juga KKDW menyediakan RM1.7 juta bagi mempergiat program e-dagang serta pendigitilan untuk usahawan luar bandar di bawah bimbingan kementerian ini.
“Selepas ini, kita akan menambah lagi peruntukan usahawan yang terdapat dalam seluruh ekosistem KKDW ini sekiranya kita mendapat peruntukan lebih, ” jelasnya.
Menerusi program ini juga usahawan diajar untuk memasarkan produk mengikut trend terkini termasuklah cara membuat kandungan barangan yang di jual di aplikasi TikTok. Usahawan juga diajar beralih daripada kaedah konvensional kepada pembayaran menerusi imbasan kod respons pantas, iaitu menggunakan kod QR serta mereka juga turut didedahkan dengan cara membuat kiraan modal pusingan menggunakan aplikasi yang dibangunkan.
Datuk Che Murad Sayang Ramjan juga turut menjelaskan bahawa PPU ini diperkenalkan bertujuan untuk memberikan kursus dan latihan secara praktikal bagi membolehkan usahawan desa mendigitalkan perniagaan mereka secara dalam talian bagi mengembangkan perusahaan yang dilaksanakan.