18 Julai 2022, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertanggungjawab menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya melalui pelbagai skim perlindungan yang ditawarkan. Caruman PERKESO melibatkan liputan dua akta, iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, kadar caruman secara amnya adalah sebanyak 1.75% oleh majikan dan 0.5% oleh pekerja berdasarkan gaji bulanan pekerja mengikut kadar jadual caruman yang disediakan. Namun begitu, bagi pekerja yang berumur 60 tahun ke atas, caruman hanyalah sebanyak 1.25% oleh majikan bagi perlindungan skim bencana pekerjaan sahaja. Sementara itu, bagi Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, kadar caruman adalah sebanyak 0.2% daripada gaji bulanan pekerja, dibuat oleh majikan dan pekerja. Caruman berkenaan merupakan sumbangan untuk perlindungan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Kebiasaannya, apabila berbicara tentang landskap perlindungan keselamatan sosial di Malaysia, masyarakat lebih mengenali Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan tabung simpanan persaraan. Hal ini demikian kerana penyata aliran tunai wang caruman tersebut tersedia bagi setiap individu. Setiap sen yang disumbangkan ke dalam tabung tersebut dapat dilihat pertumbuhannya. Malah, pengumuman dividen bagi pelaburan tersebut turut dinantikan saban tahun. Maka, sumbangan wang caruman dan hasil pelaburannya dapat dinilai secara langsung.

Caruman dalam PERKESO pula berbeza. Perlu diingatkan bahawa caruman PERKESO merupakan konsep insurans sosial, bukan tabung simpanan. Maka, hanya pencarum yang terbencana akan mendapat bantuan langsung daripada PERKESO. Barangkali,  disebabkan oleh jumlah caruman yang secara relatifnya kecil, maka tidak banyak orang yang berminat dan cakna terhadap pulangan pelaburan PERKESO. Malah, banyak orang yang tidak sedar bahawa PERKESO menawarkan perkhidmatan dan bantuan khas kepada pencarumnya. Pada masa yang sama, ada banyak pihak yang memperkecilkan sumbangan PERKESO kepada masyarakat.

Menerusi tinjauan penulis terhadap rakan dan keluarga terdekat, penulis mendapati bahawa kesedaran awam tentang perkhidmatan dan bantuan PERKESO kepada masyarakat masih rendah. Malah, penulis baru sahaja terbuka mata dengan perkhidmatan PERKEAO ketika menjalankan kajian penyelidikan berhubung dengan penjagaan jangka panjang di Malaysia.

Seiring dengan peredaran masa dan perubahan teknologi, PERKESO dilihat begitu komited untuk menambah baik perkhidmatannya kepada masyarakat. Baru-baru ini, penulis berpeluang mengunjungi Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka bagi tujuan penyelidikan. Kunjungan tersebut merupakan satu pengalaman yang membuka mata dan mengagumkan.

Pusat rehabilitasi yang mula beroperasi sejak bulan Oktober 2014 yang bertaraf antarabangsa itu mampu membantu rakyat Malaysia. Inilah kuasa insurans sosial yang lahir daripada perpaduan, persaudaraan, dan kerjasama. Pusat tersebut menawarkan perkhidmatan yang mengintegrasikan pengurusan hilang upaya, rehabilitasi perubatan, rawatan rehabilitasi neurorobotics and cybernics, rehabilitasi vokasional, penginapan, dan kemudahan lain.

Pusat Rehabilitasi PERKESO bertujuan membantu individu yang memiliki insurans PERKESO dan golongan pekerja untuk pulih secara fizikal dan vokasional. Usaha ini dibuat agar mereka dapat kembali bekerja dan kembali kepada masyarakat dengan penuh keyakinan melalui perkhidmatan yang ditawarkan.

1. Pengurusan Hilang Upaya

Pelan rehabilitasi yang komprehensif dan integrasi yang akan      dikawal selia oleh seorang pengurus kes yang dibantu oleh            kakitangan klinikal dan rehabilitasi dari pelbagai disiplin.

Program ini bertujuan menyediakan individu kembali ke       alam pekerjaan. Manakala, bagi kes yang lebih serius,                     program ini bertujuan agar individu terbabit mampu                     berdikari dalam pengurusan diri sehari-hari.

2. Rehabilitasi perubatan

Rawatan yang ditawarkan, antaranya termasuk fisioterapi,           terapi cara kerja, terapi hidro, terapi pertuturan, terapi                 sensori, pembangunan prostetik dan ortotik, dan rehabilitasi       kerja.

3. Rawatan rehabilitasi neurorobotics and cybernics

Pusat ini dilengkapi dengan Robot Suit HAL (Hybrid                      Assistive Limb) yang merupakan teknologi canggih                        neurorobotics dari Jepun. Teknologi ini digunakan untuk              merawat kecederaan saraf tunjang atau otak ini adalah yang        pertama di rantau Asia Tenggara, dan yang keempat di                  dunia.

4. Rehabilitasi Vokasional

Latihan kemahiran yang ditawarkan bermatlamat untuk                mengembalikan individu ke alam pekerjaan setelah                        mengalami hilang upaya. Latihan dirangka agar bersesuaian        dengan situasi individu yang masih dalam proses rawatan.             Antara modul yang disediakan, termasuklah jahitan, bakeri         dan kulinari, elektrik dan elektronik, rekaan grafik dan                 cetakan, kraf tangan, dandanan rambut, adaptive clothing           workshop, pengurusan pejabat, dan kemahiran komputer.

Projek yang menelan belanja besar ini nyata bukan hangat-hangat tahi ayam. Prasarana dan peralatan berteknologi tinggi yang bertaraf tahap pencapaian (state-of-the-art) bukan sahaja membolehkan proses rehabilitasi dijalankan dengan lebih berkesan, malah dapat menjamin kecekapan kos rehabilitasi.

Penulis berpeluang menyaksikan cara tenaga profesional dari pelbagai disiplin mengendalikan pusat tersebut berinteraksi dengan para pesakit dalam suasana segar, cergas dan positif. Keadaan ini pastinya berupaya mempercepat proses rehabilitasi individu.

Kejayaan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka ini juga menarik perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa lawatan baginda pada tahun 2020. Baginda memperkenankan pembinaan sebuah lagi pusat rehabilitasi seumpamanya di Ipoh, Perak.

Pusat baharu yang dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Neurorobotics and Cybernics Kebangsaan ini bakal menggunakan lebih banyak teknologi robotik terkini dari Jepun dalam program rawatannya. Projek yang menelan belanja sebanyak RM654 juta ini dijangka siap secara berperingkat pada hujung tahun 2024, sekali gus menjadikannya pusat rehabilitasi terbesar di rantau Asia Tenggara.

Iltizam dan niat murni PERKESO dalam memperjuangkan keterjaminan perlindungan keselamatan sosial negara, mula membuka mata banyak pihak. Semoga semakin banyak orang yang menyedari peri pentingnya kuasa insurans sosial dalam menjaga kebajikan masyarakat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.