Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejak sekitar sedekad yang lalu, Malaysia telah menyaksikan pembangunan dan penggunaan sistem pembayaran elektronik (e-pembayaran) yang lebih meluas di kalangan pengguna dan peniaga. Terdahulu secara amnya, masyarakat hanya mempunyai dua pilihan; iaitu sama ada transaksi secara tunai, atau kad kredit. Ini menjadikan kad kredit sebagai medium utama untuk sebarang transaksi tanpa tunai sebelum ini.
Gelombang e-pembayaran di Malaysia dilihat bermula dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) apabila ia mengeluarkan Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran yang dilaksanakan secara berperingkat dari 15 Januari 2015. Menerusi rangka kerja ini, BNM dilihat mempromosikan penggunaan kad debit yang dipercayai dapat memanfaatkan pengguna kerana sistemnya yang mudah, serta lebih kos efektif.
Seterusnya, sistem e-pembayaran di Malaysia terus berkembang ekoran trend e-dompet (e-wallet) yang dipopularkan oleh AliPay dan WeChat Pay di China. Industri mula dilimpahi dengan pemain-pemain industri teknologi kewangan lain yang tidak mahu ketinggalan. Antara nama besar dalam e-pembayaran di Malaysia termasuklah Boost, Touch ‘n Go, e-Wallet, BigPay, GrabPay, ShopeePay, dan MAE.
Berbanding mod transaksi tanpa tunai lain, e-dompet kini meraih populariti yang lebih dalam kalangan pengguna atas beberapa faktor. Pertama, dompet elektronik berfungsi dengan menggunakan aplikasi di telefon mudah alih – yang merupakan alat utama yang sangat penting kepada semua orang di zaman ini. Malahan, ada yang mengatakan bahawa kita tidak kisah jika tertinggal dompet di rumah, tetapi kebanyakan antara kita akan berpatah balik ke rumah sekiranya tertinggal telefon bimbit.
Selain itu, operator dompet elektronik juga bijak memplebagaikan fungsi aplikasi mereka agar dapat menarik perhatian lebih ramai pengguna, terutamanya di kalangan pengguna dari generasi milenium. Antaranya, kempen pulangan tunai (cashback), mata ganjaran (reward points), dan permainan atau cabaran harian atau mingguan yang menjanjikan lebih ganjaran. Malahan, kolaborasi operator dompet elektronik dengan beberapa jenama terkenal juga mampu menarik lebih ramai pengguna..
Tidak dinafikan bahawa tempoh pandemik Covid-19 juga telah memainkan peranan untuk mempercepat proses transformasi daripada transaksi tunai kepada transaksi tanpa tunai. Mungkin tidak pernah terlintas di fikiran kita sebelum ini untuk melihat gerai-gerai kecil di tepi jalan turut menggunakan pelbagai peranti moden yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan hibrid – gabungan fizikal dan atas talian. Perlu diingatkan bahawa segala transaksi e-dagang ini tidak mungkin berjaya tanpa kemajuan sistem e-pembayaran.
Terkini, jaringan lebuh raya oleh syarikat konsesi Projek Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) Expressway Berhad juga telah memperkenalkan sistem pembayaran tol yang menggabungkan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dengan sistem dompet elektronik oleh Touch ‘n Go bagi memastikan operasi yang lebih mudah dan lancar. Walau bagaimanapun, hal ini menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan pengguna jalan raya apabila penggunaan sistem MyRFID itu telah mengakibatkan kesesakan jalan raya teruk di sekitar Lembah Klang. Rata-rata pengguna meluahkan kekesalan dengan tindakan syarikat konsesi tersebut yang gagal menangani kegagalan sistem myRFID di plaza-plaza tol yang berkenaan.
Usaha PLUS menyediakan sistem pembayaran digital yang berpaksikan teknologi RFID itu perlu diberi kredit, kerana secara teori ianya dapat memberi banyak manfaat kepada pengguna. Walau bagaimanapun, proses pelaksanaannya perlu memfokuskan aspek teknikal bagi memastikan kesediaan sistem untuk beroperasi dengan lancar tanpa sebarang masalah yang signifikan.
Peningkatan penggunaan perbankan Internet, perbankan mudah alih, dompet elektronik dan sebagainya dalam pelbagai urusan harian menunjukkan bahawa populasi di Malaysia sudah semakin selesa menggunakan teknologi kewangan (fintech). Statistik terkini oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan peningkatan drastik bagi e-pembayaran merangkumi penggunaan kad kredit, kad caj, kad debit, dan wang elektronik bagi tempoh enam tahun dari 2016 ke 2021. Yang paling ketara ialah peningkatan transaksi yang menggunakan wang elektronik, iaitu meningkat daripada hanya RM7.7 bilion pada tahun 2016 kepada RM50.5 bilion pada tahun 2021. Hal ini diikuti oleh penggunaan kad debit, iaitu daripada RM22.6 bilion kepada RM78.2 bilion pada tempoh yang sama.
Transformasi digital dilihat mampu memacu ekonomi negara bagi mencapai aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Seiring dengan revolusi ekonomi digital, negara juga perlu pantas mengikuti perkembangan teknologi sistem e-pembayaran serta peranti pemprosesan pembayaran. Zaman ini bukan lagi zaman yang besar mengalahkan yang kecil; tetapi kini zaman yang pantas mengalahkan yang lambat. Maka, dengan peningkatan kemajuan semasa, semoga kita terus progresif dan terus berada di trajektori yang betul untuk mencapai aspirasi negara.
Dr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman.