15 November 2021, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanggal 29 Oktober 2021 menyaksikan pembentangan Belanjawan 2022 dengan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion oleh Menteri Kewangan YBM Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen. Dengan bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”, belanjawan pada kali ini memberikan fokus kepada tiga matlamat utama, iaitu Rakyat yang Sejahtera; Peniagaan yang Berdaya Tahan; serta Ekonomi yang Makmur dan Mampan.

Berdasarkan inti pati Belanjawan 2022, jelas bahawa strategi dan inisiatif yang dibentangkan adalah berpaksikan usaha untuk memastikan kejayaan pemulihan negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak tahun 2020. Dari pemerhatian sebagai seorang rakyat biasa, pembentangan belanjawan pada tahun ini adalah memuaskan secara keseluruhannya – walaupun tidak sempurna. Dengan sektor pendidikan dan kesihatan sebagai penerima terbesar bagi peruntukan pada kali ini, jelas sejajar dengan keperluan situasi negara dalam mendepani cabaran transisi pandemik-endemik COVID-19.

Secara lumrahnya, amat sukar untuk memenuhi tuntutan setiap pihak dalam melaksanakan sesuatu perkara kerana setiap individu mempunyai sisi pandang yang berbeza dalam melihat dan menilai sesuatu isu. Jika ditanya kepada sesetengah golongan, mereka meluahkan kekecewaan apabila tuntutan bagi pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10 000 tidak dibentangkan dalam Belanjawan 2022.

Secara peribadi, keputusan kerajaan untuk tidak memasukkan isu ini dalam Belanjawan 2022 merupakan tindakan yang tepat. Perlu diingatkan bahawa sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada tahun 2020, beberapa siri pengeluaran khas KWSP telah pun dilancarkan bagi meringankan beban kewangan rakyat – antaranya i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra. Keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah bagi kerajaan, kerana kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan semasa dengan keperluan pada masa hadapan. Bahkan, kerajaan juga perlu mempertimbangkan jangkaan pulangan yang wajar kepada golongan pencarum yang tidak melakukan pengeluaran menerusi sirikhas tersebut.

Terdapat beberapa faktor yang mendorong keputusan untuk tidak melancarkan satu lagi pengeluaran khas KWSP. Faktor pertama ialah dari segi pengurusan dan kelestarian KWSP itu sendiri. Berdasarkan siri pengeluaran khas terdahulu, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan oleh 7.4 juta ahli KWSP. Ini merupakan suatu jumlah besar yang mempunyai kesan signifikan terhadap rangka kerja pelaburan KWSP, terutamanya jika dilihat dari sudut jangka masa panjang. Pengeluaran simpanan dalam skala yang besar memberikan impak kepada dana pelaburan KWSP, berkemungkinan tinggi melibatkan pelbagai kos lepas terutamanya dalam pelaburan pasaran antarabangsa.

Faktor kedua melibatkan jaminan keperluan masa hadapan ahli KWSP itu sendiri. Matlamat asal caruman KWSP adalah untuk memastikan bahawa individu mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Walaupun tanpa sebarang pengeluaran khas, jumlah simpanan itu sendiri secara amnya mungkin masih tidak mencukupi dan berada di bawah tahap keperluan, apatah lagi jika pengeluaran berterusan dan berkala dibenarkan untuk para pencarum.

Dalam situasi negara dijangka bertukar daripada status negara menua ke negara tua bermula tahun 2020 hingga 2044, simpanan persaraan merupakan satu daripada aspek yang sangat perlu dititikberatkan sejak awal lagi. Sebelum ini, Bank Dunia melaporkan bahawa 75 peratus daripada pencarum KWSP yang berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM250 000. Situasi ini lebih meruncing apabila siri pengeluaran khas ekoran pandemik ini menyaksikan sebanyak 6.1 juta orang ahli kini mempunyai kurang daripada RM10 000 sebagai simpanan persaraan KWSP. Sementara itu, sebanyak 3.6 juta daripada mereka hanya mempunyai kurang daripada RM1000 di dalam akaun KWSP masing-masing.

Berdasarkan statistik yang dikemukakan, jelas kerajaan telah meneliti isu ini secara tuntas sebelum mengambil langkah untuk tidak memasukkan tuntutan pengeluaran khas ini dalam pembentangan Belanjawan 2022. Tambahan pula, pembukaan semula sektor ekonomi dilihat dapat membantu rakyat untuk kembali bangkit secara beransur-ansur bagi memperbaik kedudukan ekonomi dan kewangan masing-masing. Manakala, pembukaan sektor ekonomi juga memberikan ruang kepada KWSP untuk memfokuskan inisiatif pemulihan dan pembinaan semula simpanan persaraan ahli susulan pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra sebelum ini.

Kesimpulannya, semua pihak perlu memahami pengumuman pengeluaran khas KWSP yang tidak dibentangkan dalam Belanjawan 2022 baru-baru ini. Pastinya, hal tersebut bukanlah keputusan yang mudah oleh kerajaan dalam menangani dilema antara kehendak dengan keperluan. Semoga pembukaan semula sektor ekonomi kembali merancakkan ekonomi negara dan rakyat, dengan disokong oleh strategi dan inisiatif kerajaan bagi merealisasi matlamat negara–“Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

 

 

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi