20 September 2021, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya –  Bagi memastikan rakyat bebas daripada jangkitan wabak ini, kerajaan telah memperkenalkan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) khususnya kepada keluarga dalam kategori B40.

Dengan memperuntukkan sebanyak RM471.6 juta, kerajaan akan menyediakan bantuan PPC seperti pek pelitup muka guna semula (empat keping setiap keluarga); ujian kendiri kit COVID-19 (empat unit kit setiap keluarga); seunit oksimeter nadi; seunit termometer; dan risalah panduan penggunaan serta maklumat berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri berkata, pakej ini merupakan satu persediaan negara ke arah era endemik COVID-19.

PPC ini adalah bertujuan untuk meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah bagi keluarga B40 dan sekali gus melatih diri dalam membudayakan kebiasaan baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19.

Menurut beliau, pembelian PPC ini akan mula dilaksanakan berdasarkan maklumat penerima berdaftar Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.

Penerima PPC adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak.

Inisiatif ini dijangka akan memberikan manfaat kepada lebih daripada 3.6 juta keluarga B40 dan sebanyak 8.4 juta penerima BPR secara keseluruhannya.

Bantuan PPC dilaksanakan untuk perlindungan dan persediaan ke arah endemik COVID-19.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 bagi meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan secara khususnya, di samping meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19.

“Pemberian dos ketiga ini tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu, seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi.

“Kumpulan bersasar ini juga termasuklah individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.”

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kesemua perincian berhubung dengan pelaksanaan PPC dan pemberian dos ketiga vaksin akan diumumkan kelak oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.