Oleh Ad Aman
9 September 2021, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 1.75 peratus. MPC menyifatkan pendirian dasar monetari itu ialah wajar dan akomodatif.

Ekoran daripada keadaan pandemik COVID-19 yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah, serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

BNM memaklumkan bahawa ekonomi global dilihat terus pulih dengan disokong oleh peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

Walau bagaimanapun, kekuatan pemulihan berbeza merentas pelbagai negara terutamanya mengikut liputan pemberian vaksin, pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan tahap sokongan dasar.

“Negara yang mencapai kemajuan lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin COVID-19 telah dapat melonggarkan langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri terus pulih.

“Rangsangan fiskal dan monetari yang besar di beberapa negara maju terus menyokong momentum pemulihan. Keadaan kewangan juga kekal menyokong pertumbuhan,” ujarnya.

Secara keseluruhan, BNM menjelaskan bahawa imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik.

Situasi itu turut disumbang berikutan kemunculan varian COVID-19 yang membimbangkan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara susulan perubahan dasar monetari ekonomi utama.

Bagi ekonomi Malaysia pula, BNM memaklumkan pelaksanaan semula langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19 telah memperlahankan momentum pertumbuhan.

Pelonggaran yang diberikan secara berperingkat baru-baru ini lebih tertumpu kepada sektor ekonomi untuk kembaliberoperasi, di samping kemampuan syarikat yang lebih tinggi untuk membuat penyesuaian dalam persekitaran operasi baharu dan sokongan dasar yang berterusan, sebahagiannya akan mengurangkan kesan tersebut dan membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan.

“Pada masa hadapan, pelonggaran langkah pembendungan dan kemajuan pesat program pemberian vaksin dalam negeri serta pengembangan permintaan global yang berterusan akan menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2022,” ujarnya.

Purata inflasi keseluruhan pada tahun ini ialah 2.3 peratus dengan unjuran antara 2.0 hingga 3.0 peratus.

Menurut BNM,  inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka kekal rendah pada purata antara 0.5 hingga 1.5 peratus untuk tahun ini dengan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

“Walau bagaimanapun, prospek ini terus bergantung pada perkembangan harga komoditi global dan langkah-langkah dasar bagi meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh orang ramai. Namun, inflasi asas dijangka kekal rendah secara relatif pada tahun 2022,” jelas BNM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.