1 September 2021, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kerajaan akan membasmi kemiskinan, meningkatkan modal insan dan meningkatkan kualiti kesihatan rakyat melalui pembangunan Belanjawan 2022.

Kuala Lumpur – Belanjawan 2022 kini memberikan tumpuan secara keseluruhannya untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan.

Menurut Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF), pembangunan Belanjawan 2022 ialah berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Belanjawan ini dirangka berdasarkan tiga keperluan utama yang menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada September ini. Tambahan pula, perkara ini turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi daripada kesan pandemik COVID-19.

“Yang pertamanya, program bantuan dan sokongan diteruskan untuk memastikan pemulihan negara rentetan daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi, selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kedua, menentukan kesinambungan dasar. Bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan.

“Ketiga, memangkinkan pembaharuan pascapandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing, serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan,” menurut kenyataan MoF.

Maka demikian, Belanjawan 2022 akan memastikan langkah pembaharuan dilaksanakan dengan memberikan penumpuan kepada pencapaian SDG, RMK-12 dan WKB2030.

Sementara itu, kerajaan akan menumpukan usaha lain seperti meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam, penekanan unsur alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun, serta syarikat berkaitan dengan kerajaan.

“Usaha ini menggambarkan tekad negara untuk membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum, yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama,” tambah MoF.

Mengulas lebih lanjut, MoF berkata, Belanjawan 2022 akan mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara yang terkesan disebabkan oleh komitmen kerajaan dalam menampung pakej rangsangan dan bantuan untuk rakyat dan perniagaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.