28 Ogos 2021, 17:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha Program CSR Hasil Prihatin diteruskan pada hari ini dengan memberikan fokus kepada kelangsungan bekalan makanan dalam kalangan rakyat Malaysia yang benar-benar memerlukan.

Sasaran giliran kali ini ialah penduduk di Bangsar Baru, Kuala Lumpur; daerah Klang, Kuala Selangor; dan Kuala Langat, Selangor menerima bantuan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), serta penduduk setempat.

Tuan Haji Mohamad Zain (dua dari kanan, barisan hadapan) bersama-sama wakil penduduk dan ahli kariah masjid.

Sebanyak 200 bakul makanan diagihkan melalui wakil penduduk di Bangsar Baru untuk diserahkan kepada kumpulan sasar yang terjejas disebabkan oleh COVID-19. Penyerahan bakul makanan yang berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Jalan Ara dirasmikan oleh Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said, Pengarah Negeri Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Tuan Haji Kamarudin Hashim, Pengarah Negeri LHDNM Selangor menyantuni wakil penduduk kawasan daerah Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat, Selangor dalam program penyerahan bakul makanan yang diadakan di First Tower Klang.

Sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penduduk melalui wakil. Antaranya, termasuklah YBhg. Dato’ Sri DiRaja Jason Lee Pei Nam mewakili komuniti Cina di Klang, Charles Mohan a/l M. Muthiah wakil NGO Institut Onn Jaafar dan Shanthi Subarayan mewakili Tenaga Kerja RELA.

Penyampaian sumbangan bakul makanan kepada wakil penduduk untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan di sekitar kawasan Klang.

Menurut laporan, LHDNM memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelaksanaan inisiatif seumpama ini bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkesan akibat daripada penularan wabak COVID-19 terjaga.

Sehingga kini, sebanyak 4555 bakul makanan disumbangkan di bawah Program CSR Hasil Prihatin. Program ini diharapkan dapat diteruskan secara berperingkat pada setiap negeri dalam masa terdekat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.