Oleh Naimah Yusof
20 Julai 2021, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jeli – Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 28 Jun yang lalu telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion yang merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak 10 bilion ringgit.

Pakej yang dilaksanakan bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu pada tiga fokus utama, iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed ketika dihubungi menyatakan, PEMULIH perlu diuruskan dengan penuh integriti supaya pelaksanaannya mencapai tujuan bagi melindungi dan memulihkan ekonomi rakyat.

YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan sokongan dan kerjasama semua pihak bagi menjayakan agenda murni ini.

Menurut Dato’ Sri Mustapa lagi, kerajaan turut mengalu-alukan pemantauan dan maklum balas masyarakat berkaitan dengan pengurusan pakej PEMULIH untuk memastikan pakej ini dapat diuruskan secara berintegriti dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kerajaan amat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak khususnya pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang turut turun padang bersama-sama membantu rakyat yang terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”, ujar beliau.

Beliau juga turut menyampaikan penghargaan kepada Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (AceIO) atas sumbangan dan kerjasama persatuan ini dalam menjayakan pembudayaan integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Jeli.

Ramzi Yusoff yang juga merupakan seorang penggerak masyarakat dan Integrity Champion amat berterima kasih kepada pihak kerajaan atas keperihatinan kerajaan dalam membantu melindungi dan memulihkan ekonomi rakyat.

Ramzi Yusoff, penggerak masyarakat yang juga merupakan Integrity Champion.

Beliau juga mewakili masyarakat yang terjejas dan terkesan dengan keadaan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19 berharap agar semua pihak khususnya mereka yang diberikan tanggungjawab secara langsung ke atas pengurusan PEMULIH dapat memastikan pakej ini diuruskan secara berintegriti tanpa melibatkan sebarang unsur penyelewengan, salah guna kuasa mahupun rasuah.

Presiden AceIO, Ahmad Sabri Mohamed ketika diminta mengulas perkara ini berkata, beliau amat menghargai usaha dan inisiatif kerajaan dalam memulihkan ekonomi rakyat yang amat terkesan dengan PKP ini.

Beliau juga menyeru semua pihak untuk sentiasa meletakkan integriti sebagai teras dalam apa-apa pengurusan dan penyampaian perkhidmatan khususnya apabila melibatkan kepentingan rakyat termasuklah dalam agenda pemulihan ekonomi rakyat serta negara.

Ahmad Sabri Mohamed, Presiden AceIO.

Sabri turut mengajak semua lapisan masyarakat untuk menjadikan integriti sebagai amalan dan budaya dalam kehidupan.

Selain itu, beliau mengajak semua pihak khususnya Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) untuk bersama-sama ACeIO membantu kerajaan dalam menjayakan agenda integriti nasional termasuk Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Beliau juga turut mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pejuang integriti dan antirasuah termasuk para CeIO, ahli-ahli ACeIO, Muslimin dan Muslimat yang menyambutnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.