Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKUALA LUMPUR – Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yakin Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd. Yassin dapat membantu usahawan bangkit semula setelah terjejas akibat pandemik COVID-19 dan dilihat sebagai inisiatif terbaik dalam usaha memastikan ekonomi negara berada dalam landasan pemulihan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, pelan itu membolehkan golongan usahawan termasuklah francais untuk menyusun semula keperluan tenaga kerja industri dengan mengurangkan kebarangkalian risiko yang tinggi.
Tambahnya, pelan tersebut turut menyediakan strategi peralihan keluar yang jelas kepada usahawan untuk merancang aktiviti perniagaan mereka.
“Saya yakin apabila pelbagai pihak dapat memberikan kerjasama dalam mematuhi saranan yang dikeluarkan berdasarkan kepada fasa yang ditetapkan, mudah-mudahan rantaian jangkitan COVID-19 ini dapat dibendung, sekali gus dapat mengatasi krisis pandemik ini.
Sehubungan itu, PNS juga memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pelan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Pada 28 Mei lalu, kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh di seluruh negara selama dua minggu sebelum dilanjutkan lagi hingga 28 Jun 2021. Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa PKP secara berperingkat yang diumumkan merupakan strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.
Ekoran itu, PNS menyediakan pelbagai program dan skim pembiayaan khususnya untuk golongan usahawan. Antaranya, termasuklah program Recurve yang memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM20 juta kepada usahawan untuk memulihkan perniagaan mereka dan memanfaatkan lebih daripada 350 usahawan francais PNS sedia ada dengan dana tersebut.
“PNS kini giat membangunkan usahawan kecil dan sederhana (PKS) melalui program Be Your Own Boss, khususnya untuk golongan wanita dan belia,” ujar Hilaluddin lagi.
Antara usahawan Transformasi Perniagaan (BIT) di bawah PNS.
Program tersebut menyasarkan untuk melahirkan 700 usahawan francais baharu menjelang hujung tahun ini sejajar dengan jangkaan tempoh pemulihan ekonomi.
Beliau berharap, apabila pandemik ini berakhir dan sektor ekonomi dapat kembali dibuka sepenuhnya. Pada masa yang sama, usahawan juga sudah bersiap sedia untuk beroperasi dengan aktif, seterusnya dapat memacu ekonomi negara.