25 Mei 2021, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Situasi ekonomi Malaysia pada tahun 2021 masih belum stabil ekoran wabak COVID-19 yang semakin meningkat saban hari. Kerajaan terpaksa mengumumkan tiga kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung wabak ini daripada terus menular.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan PKP 3.0 ini diberikan sedikit kelonggaran kepada sektor ekonomi untuk bernafas berbanding dengan pelaksanaan PKP 1.0 yang diadakan pada Mac tahun lepas. Dalam situasi pandemik ini, pelbagai sektor terpaksa menanggung kerugian, tetapi berlainan pula dengan sektor pertanian.

Sektor pertanian menyumbang sebanyak 7.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lepas dan sektor ini dianjurkan berkembang pada kadar 4.7 peratus pada tahun ini. Pertanian bandar merupakan antara bidang yang mempunyai manfaat yang besar untuk diterokai oleh masyarakat Malaysia.

Secara umumnya, pertanian bandar merupakan satu aktiviti yang mampu menghasilkan bahan makanan, pemprosesan makanan, dan pemasaran produk makanan dalam kawasan bandar mahupun pinggir bandar. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mentakrifkan pertanian bandar sebagai aktiviti pertanian secara menanam, menaikkan, memproses dan mengedarkan produk pertanian tanpa mengira saiz tanah dan jumlah sumber manusia di bandar dan pekan.

Pertanian bandar mampu menjadi medium untuk mengekalkan kelestarian kawasan bandar dengan meningkatkan jumlah kawasan hijau.

 

Selain itu, Jabatan Pertanian Malaysia pula mentakrifkan pertanian bandar sebagai program yang membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian daripada bahan makanan. Menurut Mantan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Jabatan Pertanian Malaysia, Dato’ Mohd Anim Hosnan konsep pertanian bandar sebenarnya telah lama wujud dalam sejarah tamadun manusia seperti yang dilakukan oleh kaum Machu Picchu di Peru pada tahun 1450 dan di Taman Babylon yang mana penanaman dilakukan dalam bangunan di kawasan bandar dan kawasan yang agak tinggi.

Di Malaysia, Program Pertanian Bandar (PPB) diperkenalkan secara rasminya pada tahun 2014 setelah pembentukan bahagian pertanian bandar di bawah Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2010. Pertanian bandar selalunya dilakukan di kawasan terhad seperti kawasan terbiar, sudut atau ruang kosong termasuk atas bumbung di rumah atau bangunan yang boleh menggunakan beberapa  kaedah  seperti aeroponik, fertigasi, teknik filem nutrien (NFT) dan nutripot.

Jumlah penduduk yang meningkat saban tahun menyebabkan proses urbanisasi juga bergerak seiring dengannya. Kepesatan ini mengakibatkan masyarakat di bandar sukar mendapatkan bekalan bahan makanan yang mencukupi dan berkualiti. Maka demikian, pertanian bandar merupakan langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini bukan sahaja bagi memenuhi keperluan sendiri tetapi juga masyarakat sekitar. Menurut kajian daripada Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin merupakan Ahli Tetap Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) sesi 2020/2021, didapati bahawa 15 buah negara menunjukkan bahawa aktiviti pertanian bandar berkaitan dengan jaminan makanan, kepelbagaian diet dan diet bernutrisi yang mencukupi. Masyarakat yang menjalankan pertanian bandar secara kecil-kecilan di kediaman masing-masing bukan sahaja tidak mengharapkan kepada pertanian luar bandar semata-mata, tetapi juga mampu mendapatkan bahan makanan yang segar, berkualiti dan bebas bahan kimia dalam menu harian masing-masing.

Malaysia boleh mencontohi negara yang menyokong usaha pelaksanaan pertanian bandar di negara masing-masing. Seperti di negara jiran, Singapura contohnya menukar tanah kosong mereka menjadi ruang pertanian bandar dalam usaha mengurangkan kebergantungannya terhadap makanan import.

Usaha untuk merancakkan lagi sektor pertanian termasuklah pertanian bandar dapat dilihat melalui peruntukan sebanyak RM4.79 bilion (pembangunan) dan RM3.278 bilion (pengurusan) dalam Belanjawan 2021. Bahkan antara inisiatif utamanya ialah melibatkan perluasan Program Kebun Komuniti kepada komuniti separa bandar dan luar bandar dengan peruntukan sejumlah RM30 juta.

Antara contoh Program Kebun Komuniti yang berjaya di Malaysia termasuklah di Perumahan Awam (PA) Seri Perlis 2, Kampung Datuk Keramat dan Program Kebun Komuniti Lapan Timur Seksyen 8, Shah Alam. Program Kebun Komuniti yang diadakan ini bukan sahaja menambahkan pendapatan masyarakat tetapi juga memupuk perpaduan di kalangan masyarakat setempat. Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum memerlukan program seperti ini untuk terus menyatupadukan hubungan antara kaum selain memupuk semangat kejiranan yang semakin luntur dalam kalangan masyarakat bandar Malaysia. Pertanian bandar yang diusahakan secara bersama dengan ahli keluarga masing-masing di sekitar rumah juga mampu merapatkan hubungan antara ahli keluarga.

Aktiviti bercucuk tanam mampu mendekatkan diri seseorang dengan alam semula jadi.

Bandar dikenali dengan kawasan yang sesak dengan kepesatan pembangunan dan kekurangan kawasan hijau. Pertanian bandar sedikit sebanyak mampu menjadi medium penting bagi mengekalkan kelestarian kawasan bandar dengan meningkatkan jumlah kawasan hijau. Aktiviti ini bukan sahaja mencantikan suasana pemandangan, malah menambahkan kawasan teduhan dan mengawal suhu pada persekitaran kawasan bandar. Tumbuhan hijau mampu menyerap gas karbon dioksida dari udara yang akhirnya mengurangkan kesan gas rumah hijau. Aktiviti bercucuk tanam juga memberikan peluang kepada masyarakat bandar untuk mendekatkan diri dengan alam semula jadi. Kehijauan tumbuhan yang ditanam mampu menjadi landskap yang menarik dan menjadi sebahagian daripada terapi minda masyarakat bandar yang hidupnya sibuk sepanjang hari. Bahkan, melihat pemandangan hijau juga baik untuk kesihatan mata manusia.

Manfaat paling besar melibatkan diri dalam pertanian bandar sudah tentulah dalam aspek mengurangkan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri selain mampu menjana pendapatan tambahan. Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sebuah keluarga membelanjakan RM350 secara puratanya sebulan untuk membeli sayur-sayuran, manakala kajian yang lain pula menyatakan 50 peratus hingga 70 peratus daripada pendapatan mereka untuk mendapatkan makanan sehingga menyebabkan ada antara mereka berhadapan dengan situasi miskin bandar. Masyarakat bandar juga mampu mengurangkan kos perbelanjaan dapur apabila boleh memetik hasil sayuran mereka sendiri untuk dimasak.

Dalam suasana ekonomi yang terhimpit dek wabak COVID-19, segala aktiviti yang mampu mengurangkan kos sara hidup perlu dibuat. Pertanian bandar melalui konsep kebun dapur dan sebagainya boleh dilakukan. Bagi mereka yang memiliki tanah, bolehlah mengusahakan kebun sendiri secara kecil-kecilan bukan sahaja mampu mengurangkan kos sara hidup, tetapi juga mampu menjana pendapatan. Menurut pakar pertanian bandar, Izham Alias dalam tulisan Laupa Junus yang bertajuk “Pertanian Bandar dan Matlamat Serampang Dua Mata” menyatakan di Amerika Syarikat ada pekebun yang hanya menumpang tanah di halaman jirannya masih mampu menjana pendapatan mencecah ratusan ribu ringgit setahun.

Secara tuntasnya, pertanian bandar merupakan antara sektor yang perlu diceburi oleh masyarakat kerana mempunyai faedah yang begitu besar. Jika seseorang individu dibuang kerja semasa pandemik ini, rebutlah peluang untuk bercucuk tanam. Sememangnya pertanian bandar banyak cabarannya kerana kebanyakan tempat di kawasan bandar berstruktur bangunan tinggi yang mengganggu pencahayaan bagi aktiviti penanaman. Oleh itu, pada peringkat permulaan, seseorang individu boleh menyertai program Kebun Komuniti anjuran kerajaan di kawasan tempat tinggal masing-masing. Tiada tanah atau tanah yang terhad bukanlah menjadi penghalang kepada pertanian bandar kera teknologi dalam bidang pertanian yang canggih pada masa ini mampu menjadi penyelesaian kepada masalah tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.