Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Iskandar Malaysia menyaksikan 70 peratus atau RM291.4 bilion daripada jumlah pelaburan terkumpulnya sebanyak RM413.1 bilion direalisasikan sehingga kini. Sejak penubuhan wilayah ekonomi ini pada tahun 2006 hingga Disember 2023, Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan terkumpul RM413.1 bilion tersebut melepasi sasaran RM383 bilion yang ditetapkan pada penghujung tahun 2025.
Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim, kemajuan luar biasa yang dicatatkan itu menunjukkan Iskandar Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pelaburan kumulatif RM636 bilion menjelang tahun 2030. Hal ini selaras dengan aspirasi negara seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
IRDA akan terus memberikan tumpuan terhadap sektor bernilai tinggi dan dipacu inovasi seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa, peranti perubatan, pertanian moden, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, teknologi komunikasi maklumat dan kecerdasan buatan (AI). Selain itu, hal ini disokong oleh industri yang berada di sekelilingnya seperti penjagaan kesihatan dan sains hayat, perkhidmatan kewangan dan perniagaan serta industri kreatif digital.
Beliau turut menekankan keberadaan syarikat multinasional seperti Insulet yang mengeluarkan peranti perubatan dan pusat data seperti Airtrunk, Princeton Digital Group, Wiwynn dan Supermicro yang telah mengembangkan operasi mereka di Iskandar Malaysia baru-baru ini.

Mengulas perihal hala tuju masa depan IRDA dan penyelarasan Pelan Pembangunan Komprehensif iii Iskandar Malaysia (2022-2030) di bawah agenda Ekonomi MADANI, beliau berkata kerajaan memutuskan untuk menyelaraskan pihak berkuasa koridor ekonomi bagi menumpukan perhatian pada usaha memudahkan realisasi pelaburan. Oleh sebab Kementerian Ekonomi kini dalam proses menyemak dan memperkemas fungsi penyelarasan ini, IRDA menjangkakan beberapa perubahan dibuat dalam rancangan dan sasaran mereka tidak lama lagi.
Langkah itu bagi membolehkan IRDA memberikan tumpuan pada perkara yang paling penting untuk Iskandar Malaysia dan rakyat, iaitu merealisasikan pelaburan yang akan diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan untuk rakyat, perniagaan untuk ahli perniagaan dan usahawan tempatan serta infrastruktur dan kualiti hidup yang lebih baik.
Selain itu, beliau berkata IRDA akan terus melengkapkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor dengan membantu memudahkan dan memastikan pelaburan masuk dapat direalisasikan dengan cepat dan lancar.
Mengulas lebih lanjut perihal Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Datuk dr. Badrul Hisham berkata Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) yang diuruskan oleh IRDA, telah memulakan operasi sementaranya sebagai persediaan untuk menyokong pembentukan zon ekonomi khas berkenaan.
“IMFC-J adalah penting dalam proses ini kerana bertindak sebagai pusat pemudah cara untuk pelaburan dalam JS-SEZ. Peranannya termasuk mempercepat proses kelulusan, menyediakan khidmat rundingan dan nasihat, serta meminimumkan halangan birokrasi dengan menyelaraskan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung,”. Demikian ujar Datuk Dr. Badrul Hisham semasa program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 yang telah berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor Bahru.