Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima anugerah berprestij daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) apabila dinobatkan sebagai Universiti TVET Terbaik Malaysia (Kategori Universiti Awam). Anugerah ini sekali gus mengiktiraf keunggulan dan rangkaian kejayaan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara yang telah dicapai oleh UTeM.
Anugerah ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud kepada UTeM menerusi Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dalam majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2024 di salah sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur.
META 2024 ialah pengiktirafan berprestij anjuran Education + TVET Asia Publications bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan dan TVET di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Menurut Profesor Datuk Ts. Dr. Massila, anugerah ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna bagi UTeM yang memberikan mesej jelas bahawa usaha dan komitmen UTeM dalam pemerkasaan TVET menzahirkan impak yang berterusan. Tambah beliau, UTeM dan TVET tidak dapat dipisahkan, justeru UTeM membangunkan Teras Strategik utamanya menerusi Pelan Strategik UTeM 2023-2025 dengan fokus utamanya, “Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya” seiring dengan hasrat negara melalui Majlis TVET Negara.
Kami menggerakkan seluruh jentera meliputi aspek pendidikan, penyelidikan inovasi, pembangunan pelajar, hubungan industri, institusi pendidikan, kerjasama dengan agensi strategik dan pemerkasaan komuniti yang bukan hanya pada peringkat nasional, malahan merentas peringkat antarabangsa bagi mencapai kejayaan TVET secara meluas.
Hasilnya begitu memberangsangkan apabila setiap elemen terbabit telah membuahkan impak yang diharapkan. Antaranya termasuklah penawaran bidang pengajian kami yang menepati keperluan dan permintaan semasa industri, bilangan kemasukan pelajar melebihi daripada jumlah yang disasarkan dan kami juga berjaya merangkul Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award) pada tahun ini.
Selain itu, UTeM menampilkan formula strategik menerusi TVET Place & Train UTeM@KPT bagi menawarkan 25,000 peluang penempatan pekerjaan bergaji premium buat graduan. Menerusi pembangunan formula khas yang dibangunkan UTeM ini, empat inisiatif kerangka utama digerakkan, iaitu JELITA UTeM@KPT, UTeM-Industrial Playground, Industry-MTUN Cyber Security Consortium dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM).
Usaha bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan UTeM terutamanya graduan TVET merupakan kemestian sehingga UTeM berjaya mencatatkan kejayaan cemerlang menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023 97.7% dan 76.7% graduan bekerja.
Kolaborasi antara UTeM dengan pihak industri dan institusi pendidikan tinggi TVET di serata dunia telah dijayakan menerusi siri-siri jalinan kerjasama strategik, seperti di Jerman, Perancis dan United Kingdom, untuk perkongsian kepakaran demi kelestarian TVET kini dan masa hadapan. Di samping itu, pelbagai penganjuran program dan aktiviti TVET berimpak tinggi dilaksanakan UTeM secara meluas meliputi segenap peringkat negeri Melaka, seluruh negara hinggalah bertaraf dunia.
Dengan penganugerahan daripada META 2024 ini, UTeM turut menerima sebuah trofi dan sijil penganugerahan atas kejayaan yang dicapai. Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan pengurusan tertinggi UTeM.