Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLahad Datu – Sebagai usaha pemerkasaan berterusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju di Borneo, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Lahad Datu, Sabah pada 25 Julai 2024.
Majlis pemeteraian MoU ini telah ditandatangani oleh pihak UTeM yang diwakili Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, manakala MPOB diwakili oleh Ketua Pengarah, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal.
Datuk Ts. Dr. Massila berkata, kerjasama strategik antara UTeM dan MPOB ini akan memperluas pendidikan TVET di Borneo khususnya negeri Sabah bagi membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dan memacu pertumbuhan ekonomi setempat. Tambahnya lagi,
“Kerjasama ini tertumpu pada beberapa agenda berimpak tinggi terutamanya usaha UTeM berkaitan dengan penubuhan Pusat Pembelajaran (Learning Centre) UTeM di MPOB Lahad Datu, Sabah. Inisiatif penubuhan pusat pembelajaran ini adalah selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meningkatkan enrolmen pelajar terutama dalam bidang TVET termaju, ” tambah beliau.
Hal ini turut akan membuka laluan bagi lepasan TVET dari Politeknik dan Kolej Vokasional terutamanya di pantai timur Sabah untuk melanjutkan pengajian di Pusat Pembelajaran ini nanti. Kedudukan logistik Lahad Datu yang strategik serta dikelilingi industri seperti pertanian, pembuatan, pembinaan dan pengangkutan pastinya memerlukan tenaga kerja mahir dan di sinilah graduan UTeM akan menyumbang kembali kepada industri setempat.
Katanya lagi, bagi memantapkan usaha ini, UTeM akan menyediakan peluang kepada pelajar di sini untuk mengikuti sijil profesional bagi membangunkan tenaga mahir di negeri Sabah.
UTeM akan bekerjasama rapat dengan Universiti Malaysia Sabah dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang lain. Usaha ini dilihat selari dengan hasrat keseluruhan UTeM bagi menyasarkan pertambahan bilangan pelajar dalam bidang TVET seramai 40,000 orang, manakala seramai 150,000 pelajar TVET bagi (MTUN).
Mengulas inti pati kerjasama ini, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila menyatakan, kedua-dua pihak akan menjalankan perkongsian sumber penyelidikan, data teknikal dan kemudahan yang terdapat di UTeM dan MPOB.
Bagi menjayakan kolaborasi penyelidikan dan penerbitan dalam bidang pengajian yang disetujui, turut dilaksanakan penyeliaan bersama projek penyelidikan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.
Pada masa yang sama, usaha turut dipelbagaikan dalam konteks dimensi pembangunan modal insan menerusi garapan rangkaian aktiviti bermanfaat luas kepada kedua-dua belah pihak. UTeM juga akan berkongsi kepakaran yang dimiliki menerusi penerokaan bidang penyelidikan dan pendidikan minyak sawit berintegrasi tinggi secara bersama.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Dato’ Dr. Husaini Omar, Ahli Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr. Zulkiflie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Ts. Dr. Ghazali Omar dan Ketua Stesen Penyelidikan MPOB Lahad Datu, Muhammad Ansri Raydien.