Diterbitkan pada 3 Julai 2024, 22:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka  Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus cemerlang di persada nasional apabila menerima anugerah dan pengiktirafan peringkat nasional sebagai Hab eUsahawan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Menurut Naib Canselor UTeM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin,  kejayaan ini meletakkan UTeM sebagai universiti pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang diiktiraf sebagai Hab eUsahawan oleh MDEC.

Lebih mengujakan, UTeM merupakan antara empat buah universiti awam yang telah terpilih dalam pengiktirafan tersebut dan menerima anugerah berprestij ini, sekali gus menyahut seruan keusahawanan digital dan pendigitalan negara.

“UTeM menjayakan pelbagai program yang mendukung agenda keusahawanan digital dan pendigitalan negara yang memberikan impak yang tinggi dan meluas kepada komuniti melalui perkongsian kepakaran UTeM bersama-sama masyarakat dan usahawan setempat,” kata YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Massila.

Tambah beliau,

Kami akan terus proaktif dan komited dalam rangkaian integrasi dan usaha memantapkan keusahawanan digital ini secara dinamik dan bersepadu kerana agenda ini memberikan manfaat yang besar kepada UTeM dan komuniti.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif menyatakan bahawa UTeM aktif dalam penganjuran program kursus dan latihan “Reskilling dan Upskilling”.

Antaranya termasuklah melaksanakan perkongsian pengetahuan dan kepakaran, penerokaan peluang teknologi, inisiatif gig seperti “Digital Freelancer” dan “Global Outsourcing Talent” (GOT) dan eUsahawan.

“Pada masa yang sama, UTeM turut menjayakan program keusahawanan digital dengan kerjasama MDEC dan Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA),” ujar YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Sabri.

Sehubungan dengan itu, Pengarah CREATE UTeM, YBrs. Dr. Isma Addi Jumbri berkata, CREATE UTeM amat menghargai peluang dan kerjasama hebat yang diberikan oleh pihak MDEC untuk sama-sama menjayakan program keusahawanan digital di UTeM.

Tambah beliau, kejayaan ini juga ialah hasil komitmen bersama-sama seluruh warga UTeM, khususnya golongan pelajar yang sentiasa berminat dan komited dalam menjayakan pelbagai program anjuran CREATE dan MDEC selama ini.

Anugerah dan pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Digital, YBrs. Encik Fabian Bigar yang mewakili Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo dan disaksikan KSU Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang mewakili Menteri KPT.

YBhg. Datuk Dr. Sabri mewakili Naib Canselor UTeM untuk menerima anugerah dan pengiktirafan sebagai Hab eUsahawan ini dalam majlis tersebut bersama dengan Pengarah CREATE, YBrs. Dr Isma Addi.

Pada program yang sama, turut disempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KPT dengan Kementerian Digital di Bangsar, baru-baru ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi